KOTAK perakam suara kokpit (CVR) pesawat yang terhempas di Persiaran Elmina minggu lalu mungkin dihantar kepada pengilang di Florida, Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan semula data rakaman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini susulan makmal di Singapura juga gagal mengeluarkan rakaman suara 30 minit terakhir kokpit penerbangan tersebut.
Oleh itu katanya, ketua Badan Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan pasukannya akan pulang ke ibu negara dari Singapura hari ini bagi memberikan penjelasan dan tindakan susulan yang perlu dilakukan.
“Kita mungkin perlu hantar memory puck tersebut ke Florida untuk dianalisa. Jadi, petang ini beliau akan kembali dan memberikan taklimat kepada saya.
“Kita akan membuat perancangan seawal mungkin untuk membenarkan pasukan BSKU untuk pergi ke Florida untuk cuba mendapatkan rakaman suara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia hari ini.
Kotak CVR tersebut pada ditemui pada Jumaat dan dihantar ke makmal namun keadaannya yang rosak teruk menyebabkan ia tidak dapat diproses.
BSKU kemudiannya mendapat bantuan daripada Singapura untuk mendapatkan kembali data rakaman suara pesawat itu namun selepas dua hari, mereka berdepan beberapa isu teknikal dan kekangan yang menyebabkan data tersebut gagal diperolehi.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, tidak timbul soal tidak mahu memproses maklumat berkenaan di negara ini kerana Malaysia kekurangan peralatan.
Katanya, untuk mendapatkan peralatan seperti itu memerlukan masa dan pelaburan daripada kerajaan.
“Kita cuba perolehi peralatan ini tetapi apabila dalam keadaan kecemasan seperti ini kita memerlukan tindakan segera jadi kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang mampu.
“Tetapi dalam dunia penerbangan kita kena faham bahawa tidak ada satu negara yang boleh melakukan segala-galanya,” tegasnya. – Edisi 9