31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Selamat tinggal PKP, kita menuju ke kehidupan normal

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

ALHAMDULILLAH, Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Ini bermakna di bawah fasa tersebut, prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat selama hampir dua tahun dilalui akan dimansuhkan sepenuhnya, kecuali pemakaian pelitup muka dan imbasan MySejahtera.

Pun begitu, ia sudah tentu berita yang mengembirakan kita semua, dan insya-Allah tidak lama lagi kita semua akan kembali dengan kehidupan normal – makan lewat malam di warung, solat tanpa perlu penjarakan fizikal dan boleh menonton bola sepak di stadium dengan kapasiti penuh.

Kejayaan Malaysia hampir keluar daripada pandemik ini tidak lain adalah kerana keyakinan majoriti orang kita kepada vaksinasi yang diberikan dengan 98 peratus populasi dewasa sudah menerima suntikan penuh vaksin manakala lebih 64 peratus.

Biar apapun kumpulan antivaksin gelarkan kepada Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, namun ternyata program vaksinasi inilah yang mengembalikan semula kehidupan kita sebelum pandemik Covid-19 sebelum ini.

Kejayaan suntikan pelali Covid-19 ini sama juga seperti keupayaan Malaysia melawan penyakit-penyakit lain seperti taun, kepialu, kusta, anjing gila dan lain-lain, hasil pemberian vaksin sejak lahir.

Usaha Malaysia yang mengawal penularan Covid-19 bermula apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan sejak Februari 2021 dan ditambah dengan suntikan dos penggalak bagi ‘memperkukuhkan’ lagi daya tahan penyakit dalam kalangan rakyat.

Tentunya kita masih ingat bagaimana kita terpaksa mengharungi saat-saat sukar apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sehingga ekonomi negara dan rakyat hampir lumpur dan begitu ramai rakyat yang menderita.

Namun atas kesabaran semua mengharungi saat-saat genting dan kesediaan mereka menerima pelalian Covid-19, menguatkan antibodi bagi melawan virus Covid-19 dengan pelbagai varian, akhirnya kita kini semakin hampir menuju kemenangan.

Benar, pandemik ini telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Malaysia namun percayalah, kerajaan yang memerintah sudah melakukan perkara terbaik untuk melindungi seluruh rakyat daripada terkesan akibat pandemik ini.

Melindungi rakyat daripada jangkitan virus pembunuh, menyelamatkan rakyat daripada kebuluran dan memperkukuh daya tahan badan setiap individu baik dewasa, remaja dan kanak-kanak dengan program imunisasi Covid-19.

Bahkan ia bukan sahaja dihadapi oleh kita Malaysia, bahkan di seluruh dunia baik negara sebesar Amerika Syarikat bahkan sekecil-kecil negara seperti Singapura dan Brunei. Begitulah penangan Covid-19 yang didakwa bermula dari Wuhan, China sejak 2019 lalu.

Benar kata Perdana Menteri, kejayaan kita menuju fasa endemik sepenuhnya ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia, kerana kepimpinan kerajaan dan dasar-dasarnya serta juga kerjasama semua.

Jadi, janganlah pula nanti ada yang mendakwa kejayaan kita hampir keluar daripada pandemik Covid-19 kerana ‘usaha’ mereka secara individu. Tidak, ini kejayaan kita semua.

Terima kasih Malaysia! Kita semua Boleh! – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan