30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sejarah wang pemisahan waris Kesultanan Sulu – Bahagian 1

Dari RM5,300 kepada RM63 bilion

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN
PENDAHULUAN

ARTIKEL ini ditulis dalam bentuk kronologi dan dibahagikan kepada tiga bahagian supaya mudah untuk difahami jalannya sejarah tuntutan Filipina terhadap Sabah serta kaitannya dengan tuntutan waris Kesultanan Sulu sebanyak RM63 bilion ke atas kerajaan Malaysia.

Perbalahan antara Filipina dan Malaysia mengenai siapa yang berhak memiliki Sabah (dibaca – hanya sebahagian kecil daripada Sabah, iaitu bahagian pantai tertentu sahaja) masih belum selesai daripada kaca mata Filipina.

Bagi Filipina isu pemilikan ke atas Sabah masih tergantung, tiada penyelesaian muktamad, tetapi pendirian Malaysia jelas menganggap kes ini telah selesai berdasarkan keputusan rakyat Sabah sendiri melalui sebuah referendum self determination yang dianjurkan oleh PBB dan memutuskan bahawa penduduk di wilayah Borneo itu telah memilih untuk bergabung dalam Malaysia.

Perihal bayaran sebanyak RM5,300 pula adalah token oleh Kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sebagai ganti rugi perihal melepaskan hak ke atas kawasan yang dituntut berdasakan perjanjian pada 22 Januari 1878.

Maka wajarlah dinamakan sebagai wang pemisahan tahunan. Lantas bagaimana jumlah wang pemisahan tahunan ini dari RM5,300 boleh membengkak hingga RM63 bilion?

PUNCA PERBALAHAN

Isu asas adalah siapakah berhak ke atas Sabah? Filipina mendakwa memperoleh kuasa memerintah Sabah daripada kerajaan Sulu, manakala Malaysia peroleh kuasa perintah Sabah daripada kerajaan British.

Inggeris mendapat kuasa daripada Syarikat Inggeris Borneo Utara yang mendapatkannya daripada Overbeck & Dent [Penerima hak-hak & Keistimewaan-keistimewaan tertentu] yang dikurniakan oleh Sultan Sulu (Sultan Muhammad Jamalul Alam) berasarkan dokumen yang ditandatangan pada 22 Januari 1878.

Berdasarkan dokumen ini Filipina nyatakan hak dan keistimewaan yang diperoleh Overbeck & Dent sebagai satu lease [penyewaan], bukan cession [penyerahan] seperti didakwa Inggeris dan kemudian oleh Malaysia sebagai penyerahan [penjualan]. Masalah timbul apabila terdapat dua versi terjemahan dokumen ini:

a. Terjemahan Maxwell-Gibson dalam Treaties and Engagements Affecting the Malay States and Borneo, terjemahan cession dan dianggap oleh Filipina sebagai tidak betul. Tajuk terjemahan: Grant from the Sultan of Sulu to Baron de Overbeck and Alfred Dent Esquire of Certain Territories and Lands on the Mainland of the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.

b. Terjemahan Prof. Conklin, lease dan ini diakui oleh Filipina sebagai betul. Tajuk terjemahan: Grant by the Sultan of Sulu of a Permanent Lease Covering his Lands and Territories on the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.

Perjanjian 1878 ini ditulis dalam bahasa Melayu tulisan Jawi dengan kalimat yang jadi pertikaian adalah seperti berikut:

“…sudah kuredhai pajakan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada tuan Gustavus Baron von Overbeck yang tinggal dalam negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal dalam negeri London… sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan.”

Kata kunci yang menjadi permasalahan dalam perjanjian tersebut adalah pajakan, yang mempunyai tafsiran berbeza-beza:

Bahasa Melayu sebagai bahasa perjanjian memberi takrifan pajakan sebagai “gadaian” atau “sewaan”, di mana wilayah tersebut pada hakikatnya digadaikan dengan sejumlah wang yang dibayarkan secara tahunan dan pihak kesultanan harus membayar kembali dari nilai wang yang diberikan untuk menuntut wilayahnya kembali; selama-lama pula menandakan bahawa perjanjian tersebut akan laku kuatkuasa selama pemerintahan sultan-sultan berikutnya.

Ahli bahasa Sepanyol pada 1878 dan dua ahli antropologi Amerika Syarikat H. Otley Beyer dan Harold Conklin pada 1946 mentafsirkan hampir sama sebagai “sewa” (arrendamiento, lease). Pihak British menggunakan terjemahan daripada sejarawan Najeeb Mitry Saleeby pada 1908 serta William George Maxweel dan Wiliam Summer Gibson pada 1924, yang mengertikan kata pajak sebagai “mengurniakan dan menyerahkan” (grant and cede).

Berdasarkan kepada terjemahan berbeza inilah tuntutan tersebut bermula. Ekoran itu kerajaan Filipina meminta dibuat satu terjemahan lain dan kali ini dibuat oleh waris Sultan Jamalul Kiram dan pakar Bahasa Belanda yang menterjemah sebagai ‘penyewaan’.

Masalah sama ada penyewaan atau suatu pengurniaan yang mutlak (penyerahan) adalah suatu perkara semantik, apa-apa yang patut menentukannya ialah hasrat rakyat Sabah itu sendiri dan perkara ini telah jelas berdasarkan hasil referendum self determination oleh rakyat Sabah.

Tinjauan Kedua-dua Versi Perjanjian 1878
Asasnya selain soal cession atau lease kedua-dua versi adalah sama [keluasan, jumlah bayaran – $5,000 dibayar setiap tahun], tapi dalam versi cession dinyatakan sebagai ganti rugi [pampasan] kerana perihal melepaskan hak. Versi kedua menyatakan bayaran sebagai rental atau sewa. Kedua-dua versi menyatakan:

  • Wilayah ini tidak akan dipindahkan milik tanpa persetujuan kerajaan Inggeris.
  • Jika wujud sebarang perselisihan antara kedua-dua pihak, maka perkara tersebut harus dirujuk kepada Konsul General British di Borneo/ Brunei.
  • Syarat terakhir menyatakan jika Sultan Sulu perlukan sebarang bantuan atau berada dalam kesusahan, maka pihak satu lagi perlu membantu baginda. Jadi pihak Sultan Sulu lebih beruntung sebab di samping mendapat bayaran tahunan sebanyak $5,000 Malayan, juga bantuan Inggeris jika perlu.
SEJARAH BAYARAN PAMPASAN

Dalam perjanjian pada 22 Januari 1878 Overbeck dan Dent disyaratkan membayar kepada Sultan Muhammad Jamalul Alam $5,000 – Malayan setiap tahun dan jumlah tersebut ditambah menjadi $5,300 pada 1903.

Sejak 1878 pembayaran tahunan tersebut dibuat hingga 1936 apabila Sultan Jamalul Kiram mangkat. Bayaran pada 1936 tergantung sebab Syarikat Inggeris Borneo Utara mahu memastikan siapakah sebenarnya yang layak menerima wang tersebut.

Sebab Sultan Jamalul Kiram tiada anak, maka baginda mewasiatkan hartanya di Filipina dan Borneo Utara kepada saudara-maranya. Pada 18 Disember 1939 Hakim Besar Macaskie [Sabah] putuskan 9 warisnya berhak mendapat $5,300 secara tahunan.

Hakim juga menetapkan bahawa kuasa memerintah (Sulu) diwarisi oleh kerajaan Filipina dan inilah yang menyebabkan Filipina menuntut Sabah.

Manila Accord yang ditandatangi oleh Presiden Sukarno (Indonesia), Tunku Abdul Rahman (Malaya) dan Diosdado Macapagal (Filipina) pada 31 Julai 1963. – Sumber Wikipedia

Semasa zaman pendudukan Jepun segala pembayaran tergendala. Pada 1946 Syarikat Borneo Utara menyerah atau memindahkan hak dan kuasanya kepada Borneo Utara dan kepada kerajaan British.

Selanjutnya waris-waris Sultan mengisytiharkan pada 25 November 1957: bahawa mereka tidak mengakui Borneo Utara sebagai sebahagian daripada tanah jajahan Inggeris dan membatalkan lease 1878 yang berkuatkuasa pada 22 Januari 1958.

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan gagasan Malaysia di Singapura dan ini menimbulkan protes daripada waris-waris Sultan Sulu. James Ongkili menyatakan kerajaan Sulu tidak wujud secara perlembagaan ketika itu.

Pada 1962 waris-waris Sultan Sulu mengemukakan surat kepada kerajaan Filipina keinginan mereka untuk melihat wilayah Borneo Utara sebagai sebahagian daripada Filipina.

Pada 12 September 1962, Sultan Mohammad Ismail Kiram dengan rasmi menyerahkan kuasa memerintah Borneo Utara kepada kerajaan Filipina.

Pada 12 Julai 1963, kerajaan British membatalkan kuasanya ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura untuk memberi laluan kepada pembentukan Malaysia. Sebagai langkah untuk mengelak perbalahan, perjumpaan antara Filipina dan Malaysia diadakan di Manila pada 31 Julai 1963.

Maka ditandatangani Manila Accord yang menyatakan pengesahan ketiga-tiga pihak [Republik Indonesia, Filipina dan Malaysia] tentang self determination penduduk di wilayah Borneo.

Ketua Menteri Sabah [Peter Lo] pada 1962 menyatakan orang Sabah rata-rata tidak mahu kerajaan pusat mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina mengenai tuntutan tersebut dan berpegang teguh kepada prinsip self determination, iaitu tidak mahu menjadi sebahagian dari Filipina.

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 ekoran pengesahan PBB tentang keinginan majoriti penduduk Borneo menyertai Malaysia tapi Filipina tetap tidak terima ketetapan PBB itu walaupun telah bersetuju dalam Manila Accord dan tetap menuntut Sabah.

Perundingan di Bangkok pada 15 Julai 1968 tidak berjaya menyelesaikan masalah ini. Pada Oktober 1968, Filipina membawa isu Sabah ke PBB oleh Narciso Ramos supaya diselesaikan oleh Mahkamah Dunia (World Court).

Malaysia tidak menyahut seruan Filipina supaya menyerahkan perbalahan ke Mahkamah Dunia di The Hague, Belanda sebaliknya berdiam diri sebab jika Malaysia menyahut seruan Filipina bererti Malaysia mengakui hak Filipina dan meragui hak sendiri ke atas Sabah.

Mahkamah Dunia hanya boleh mempertimbangkan isu ini jika kedua-dua belah pihak bersetuju membawanya ke The Hague.

(Bersambung…)

  • Prof Madya Dr Nazarudin Zainun adalah pakar sejarah Asia Tenggara dan merupakan pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan