Friday, June 5, 2026

KKM akan tambah PPV ‘walk-in’ vaksinasi kanak-kanak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) walk-in atau secara jumpa terus, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, ia seiring usaha mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

“Kita akan memudahkan lagi proses vaksinasi terutama di Sarawak di mana program PICKids yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1.

“Saya akan cadangkan supaya PPV Walk-In dibuka di kawasan-kawasan yang sudah tidak ada temu janji atau yang sudah selesai.

“Maka, bolehlah PPV Walk-In dibuka serta memberi perhatian di kawasan YB,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang bertanya tindakan susulan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak termasuk di kawasannya.

Menjawab soalan asal, Khairy berkata, KKM telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menghadapi cabaran gelombang Omicron ketika ini.

“Ia termasuk mempergiat pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di mana sehingga 28 Februari lalu, kadar liputan dos penggalak adalah 62 peratus populasi dewasa.

“Menambah baik pengurusan COVID-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

“Usaha sama dengan fasiliti kesihatan swasta dalam pengurusan kes COVID-19.

“Hospital-hospital swasta telah bekerjasama dalam menyediakan katil bagi merawat kes COVID-19.

“Pengamal-pengamal perubatan swasta juga dilibatkan dalam pemantauan kes-kes positif yang diasingkan di rumah,” katanya.

Jelasnya, antara usaha lain yang dilakukan termasuk membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

Selain itu, National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) diaktifkan semula sejak 7 Februari lalu dengan objektif utama penubuhannya adalah untuk memastikan akses ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital terjamin.

Malah, RRTF 2.0 juga akan melakukan pemantauan kes positif COVID-19 melalui Pusat Penilaian COVID-19 secara maya (VCAC).- Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan