BAHAGIAN KEDUA:
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan prasarana, pendidikan dan keusahawanan sebagai optik dalam mensejahterakan masyarakat luar bandar.
Justeru, peranan agensinya seperti MARA amat penting bagi menjayakan matlamat tersebut. Begitu juga JKOA yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
Ikuti bahagian kedua temu bual wartawan Edisi 9, LUKMAN ISMAIL bersama Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun banyak kejayaan telah dicapai di luar bandar, namun ramai masih menyimpan persepsi bahawa luar bandar jauh tertinggal berbanding dengan bandar. Apa pandangan Datuk Seri?
Itu persepsi yang diletakkan oleh sesetengah pihak. Mereka memandang luar bandar ini ‘lekeh’ berbanding dengan bandar. Tetapi sebetulnya tidak. Kalau kita lihat pendidikan misalnya, ini paling berjaya.
Saya percaya 80 peratus pegawai dan kakitangan di Putrajaya datangnya daripada kampung. Kejayaan kerajaan membangunkan sistem pendidikan memajukan rakyat terkesan di luar bandar.
Anak-anak luar bandar sudah ramai belajar di asrama penuh, MRSM, sekolah kluster dan lain-lain. Ada kejayaan besar dalam tempoh 50 tahun.
Cuma yang menjadi semakin ketara apabila kehidupan di bandar juga diangkat lagi tinggi kualiti kehidupan mereka. Kalau dahulu anak-anak di bandar masuk sekolah biasa tetapi sekarang ibu bapa sudah berada pada taraf kelas pertengahan dan ke atas, ada wang, mereka hantar anak-anak mereka ke sekolah swasta atau antarabangsa.
Sebetulnya kualiti kehidupan di kampung sudah diangkat, tetapi apabila tahap kehidupan di kampung diangkat, di bandar pun diangkat lagi tinggi. Apapun kerajaan tak akan berhenti untuk membangunkan desa.
Impian saya, termasuk Perdana Menteri juga, sebagai orang kampung, nak tengok lebih banyak kejayaan lagi, bukan setakat itu sahaja.
Saya akan puas hati apabila prasarana cukup, kesambungan cukup, budak-budak di sekolah KEMAS pun ada 150 megabit sesaat (Mbps) internet, misalnya, mereka boleh pakai internet di rumah, di sekolah di kampung. Ini yang kami sedang usahakan.
Impian itu sepertinya sukar untuk dilaksanakan. Apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan impian ini?
Beginilah, dalam tempoh tiga tahun kita boleh kumpul data penuh. Sekarang data tak cukup. Kita belum capai tahap big data. Sekarang ini data berbentuk individu, kau kau aku aku. Sebenarnya data sudah ada, malah apa yang ada di Malaysia sekarang boleh capai lebih daripada itu. Dengan data tersebut kita tahu mana nak pacu, insya-Allah impian ini boleh dicapai.
Masalahnya seperti saya kata, lambat dan mengambil masa. Zaman sekarang orang gelak kat kita. Kita nak cari jalan supaya perkara yang boleh diselesaikan tiga bulan menjadi dua bulan, enam bulan jadi tiga bulan. Perkara ini perlu masuk dalam dasar, pengurusan tertinggi, Kabinet dan semua orang kena setuju.
Apakah pendigitalan kementerian boleh mempercepatkan proses DPLB ini?
Sangat boleh. Pendigital sangat perlu pada waktu ini. Sekarang sudah ada, cuma hanya berada pada tahap 30 peratus hingga 35 peratus sahaja.
Contohnya, saya pergi ke Segamat, sebuah daerah besar di Johor. Di sana terdapat tiga Parlimen. Dalam satu Parlimen terdapat berapa puluh buah kampung? Kampung tradisional berapa, FELDA berapa, taman perumahan berapa? Kita tidak ada data lengkap. Sistem itu ada tapi tidak menyeluruh.
Di Segamat juga terdapat 78 kampung tradisional yang memang di bawah KPLB, ada 21 FELDA. Itu belum masuk taman perumahan di bawah pihak berkuasa tempatan. Jadi kalau ada satu sistem yang kita boleh masuk, sekali tekan keluar senarai kampung tradisional, berapa buah rumah yang ada, rumah mana yang dikategori orang senang, kurang senang dan miskin.
Bila ada data, oh kita ada 11 rumah orang miskin daripada 92 keluarga, misalnya, jadi bantuan yang disalurkan akan bersasar. Sekarang ini bantuan tidak bersasar sebab pangkalan data yang ada belum memuaskan.
Sekarang ini zaman digital, pangkalan data ada di hujung jari. Tak perlu lagi angkat fail satu troli, ini bukan zamannya lagi. Kalau sudah sampai tahap itu, kita tidak perlu menunggu sehingga 2030.
Di KPLB kita dalam proses membina data besar ini. Ketua Setiausaha sudah ada bajet untuk membangunkannya. Insya-Allah hujung tahun ini boleh siap.
Sebetulnya masing-masing agensi sudah ada sistem, tapi tidak ada aplikasi yang menyatukan. Contoh usahawan, semua agensi ada usahawan masing-masing. Jadi kita akan satukan data usahawan MARA dengan RISDA. Bila kita integrasikan, kita aka nampak bertindih-tindih. MARA pun ada nama mereka, di RISDA pun ada. Jadi ini yang kita akan atasi.
Apakah MARA akan terus menjadi agensi yang menghantar para pelajar ke luar negara?
MARA sudah masuk jubli emas dari segi penghantaran pelajar ke luar negara. Ia bermula pada 1972 apabila Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditubuhkan. Sekarang ini sudah 2022. Jadi, kalau kita melalui terowong masa daripada 10 tahun pertama, kedua, ketiga sehingga kelima, saya boleh sahkan bahawa ia satu kejayaan besar untuk orang Melayu, khususnya di luar bandar.
Kita ada satu jumlah peruntukan yang tidak pernah dipotong, kecuali satu zaman, zaman itulah. Jadi kita bahagi kepada dua iaitu pertama, tajaan biasiswa dan pinjaman pelajar ke luar negara. Syaratnya ialah 50 universiti terbaik dunia. Walaupun mereka memohon sendiri, tetapi atas kelayakan mereka dapat kita akan beri.
Keduanya, tajaan untuk dalam negeri di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD sama ada di UiTM atau lain-lain universiti. Cuma syaratnya, bidang pengajian kita pilih, tak boleh serbaneka. Pengajian mengikut kehendak pasaran semasa iaitu yang diperlukan di luar sana. Contohnya teknologi hijau, pendigitalan, minyak dan gas, kereta api, automotif, penerbangan dan lain-lain.
Saya beri jaminan, insya-Allah, MARA akan teruskan usaha menghantar pelajar ke luar negara seperti biasa.
Selain itu, MARA juga tumpu kepada pengajian peringat menengah iaitu MRSM. Sekarang ini sudah ada 55 buah MRSM di seluruh negara. Kita bercadang nak tambah, tetapi cara yang tambah itu masih difikirkan sama ada berasrama penuh sepenuhnya seperti yang ada sekarang atau dalam bentuk hibrid, sebagaian tinggal di asrama sebahagian di rumah. Kita sudah masuk 50 tahun jadi kenar tukarlah konsep MRSM itu sendiri. Ini idea yang kita sedang fikirkan.
Apakah usaha KPLB dalam mensejahterakan masyarakat Orang Asli?
Salah satu peranan dan tanggungjawab KPLB ialah melibatkan masyarkat Orang Asli. Jumlah Orang Asli di Semenanjung ialah kira-kira 200,000 orang. Paling banyak di Pahang, diikuti Perak dan Kelantan. Selain itu ada juga di Johor, Negeri Sembilan dan sedikit di Kedah dan Terengganu. Di Johor ada 63 kampung Orang Asli di beberapa daerah.
Apa yang kerajaan buat melalui KPLB ialah menubuhkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA). Jabatan ini diketuai oleh seorang Ketua Pengarah dan saya telah memilih anak Orang Asli menduduki jawatan itu kerana beliau lebih faham. JKOA kini dikendalikan sendiri oleh Orang Asli.
Kedua, seperti juga masyarakat luar bandar, naratifnya tetap kesejahteraan rakyat tetap ada, jadi ia kembali kepada prasarana, pendidikan dan keusahawan.
Kebanyaka Orang Asli tidak mahu berpindah pindah dan agak berat dalam menyediakan prasarana. Tetapi Orang Asli tetap rakyat Malaysia dan mereka perlu ditolong. Jadi dalam menyediakan prasarana elektrik kina bina mini hidro atau solar.
Sama juga dengan bekalan air, kita ada air bukit atau dipanggil air masyarakat. Kita juga rawat air yang bertakung dan kemudian dibekalkan kepada mereka.
Untuk prasarana jalan raya pula, kita naik taraf jalan-jalan balak.Kita juga menyediakan rumah untuk mereka sama ada membina rumah baharu, atau membaik pulih rumah mereka.
Dari segi pendidikan pula, waktu saya jadi Menteri Pelajaran dahulu, kita ada Program K9 iaitu belajar di sekolah yang sama dari darjah satu hingga enam untuk sekolah rendah dan kemudian sambung dari tingkatan satu hingga tiga. Masuk tingkatan empat baharu mereka pergi sekolah-sekolah lain. ini antara program yang mereka suka sebab mereka tidak perlu pergi ke tempat lain.
Sepertimana masyarakat luar bandar lain, Orang Asli juga diberi peluang untuk belajar kemahiran TVET. Kita sedang merangka TVET khas untuk Orang Asli.
Kadang-kala mereka ada masalah untuk berkomunikasi sebab jumlah mereka tidak ramai, jadi mereka tidak selesa. Ini berbeza dengan di institut pendidikan guru (IPG), jumlah mereka sudah ramai mengikuti kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Dengan adanya TVET untuk masyarakat ini mereka lebih selesa untuk belajar.
Begitu juga soal kebajikan ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 atau bencana banjir, kita tidak melupakan nasib masyarakat Orang Asli ini. – Edisi 9
- Laporan Bahagian I klik di sini!