25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PN umum manifesto berteraskan 8 tunjang utama

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan ikrar yang juga merupakan manifesto gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berteraskan kepada lapan tunjang utama yang turut dipacu oleh 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN menawarkan barisan kepemimpinan berwibawa untuk menerajui aspirasi Demi Bangsa Johor yang akan diterajui gabungan 56 calon PN yang akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Menurut beliau, lapan tunjang utama ikrar tersebut adalah merangkumi Kepimpinan Yang Berintegriti dan Bebas Rasuah; Keutuhan Ekonomi; Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup; Keprihatinan Rakyat; Kesejahteraan Sosial; Kecekapan Infrastruktur; Kerancakkan Sektor Pelancongan dan Kelestarian Alam Sekitar.

“Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata. Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang  bersih, cekap dan prihatin rakyat.

“PN berikrar untuk terus menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan, mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri yang cekap, berintegriti dan bebas rasuah,  mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat serta prihatin terhadap kebajikan rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor,” katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional PRN Johor di sini.

MUHYIDDIN YASSIN

Muhyiddin memberitahu, bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Johor dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh anak jati Johor daripada golongan profesional dan berpengalaman akan ditubuhkan.

“Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,”katanya.

Memperincikan tunjang pertama Kepimpinan Yang Berintegriti dan Bebas Rasuah, kata beliau, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.

“Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan  syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri,”katanya.

Bagi tunjang Keutuhan Ekonomi Johor, Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, Johor mempunyai potensi yang amat besar untuk dipacu ke tahap yang optimum.

“Oleh yang demikian, Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik akan disediakan bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor.

“Pelan Sedekad ini mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar,”katanya.

Katanya, PN akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri Johor bagi meringankan beban yang ditanggung dengan menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Di samping itu, memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan  pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU.

“Ini untuk membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik COVID-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan untuk tempoh selama lima tahun.

“Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan,”katanya.

Advertisements

Dalam masa sama, tunjang Keprihatinan kepada rakyat, katanya, sentiasa menjadi keutamaan PN.

“Dalam hal ini semua golongan masyarakat, termasuklah belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, masyarakat orang asli dan komuniti FELDA sentiasa diberikan  perhatian.

“Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

“Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda. Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian,”katanya.

Ujar beliau, bagi menjamin Kesejahteraan Sosial, PN akan memastikan pendidikan berkualiti disediakan untuk memperhebat generasi pewaris Johor dengan tumpuan kepada penyediaan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses pendidikan kepada semua rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan.

“Akses kepada pendidikan agama yang berkualiti menerusi sekolah-sekolah agama negeri Johor juga akan dipertingkatkan untuk murid-murid beragama Islam.

“Perkhidmatan kesihatan akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Bagi perumahan pula, agihan perumahan mampu milik akan dibuat secara telus dan penawaran rumah mampu milik ditingkatkan melalui baik pulih projek terbengkalai dan penambahan rumah transit.

“Selain itu, kawalan keselamatan sempadan dan kawasan bandar utama akan diperketat melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan. Inisiatif Dana Harmoni Johor, Program Sejahtera Johor dan pemerkasaan komuniti rukun tetangga (KRT) akan dilaksana bagi meningkatkan perpaduan setiap lapisan masyakarat,”katanya.

Di samping itu, Muhyiddin turut memaklumkan PN berikrar akan meningkatkan Kecekapan Infrastruktur termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan, landasan keretapi, pengangkutan awam dan lapangan terbang. 

“Seiring dengan keperluan akses Internet, liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di pusat tumpuan orang ramai,”katanya.

Jelas beliau, Johor yang kaya dengan keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah boleh mencipta lagi produk pelancongan bernilai tinggi menerusi tunjang PN Merancakkan Sektor Pelancongan Johor.

“Antara pendekatan dalam agropelanconga adalah Program ‘Johor Agro Visit’ dengan pakej farmstay atau latihan pertanian. Selain itu, kemudahan perkhidmatan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia juga dilihat sebagai berpotensi untuk diketengahkan.

Muhyiddin berkata, tunjang terakhir, Kelestarian Alam Sekitar, merupakan paksi dan tunjang utama Perikatan Nasional.

“Bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan