24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Onn Hafiz angkat sumpah sebagai MB petang ini?

Mesti Baca

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikatakan hampir pasti dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dan majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru petang ini.

Beliau yang juga cicit kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar itu dikatakan telah dicalonkan sebagai Menteri Besar setelah diberi laluan oleh penyandangnya, Datuk Hasni Mohammad.

Onn Hafiz dilahirkan pada 2 Mac 1979 di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan merupakan cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berkelulusan dalam bidang perakaunan dari University of Hertfordshire, United Kingdom, beliau mula bergiat aktif dalam politik apabila menganggotai Pemuda UMNO Sembrong pada tahun 2006.

Pada 2012 beliau menjadi Ketua Pemuda Sembrong serta Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Onn Hafiz menang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang dan dilantik sebagai Exco Belia dan Sukan pada 2020 di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru lalu, Onn Hafiz berpindah ke DUN Machap dan menang dengan majoriti 6,543 dalam pertembungan empat penjuru.

Onn Hafiz memperoleh 11,029 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Azlisham Azahar yang mendapat 4,486 undi, R. Sangaran (MUDA) 3,493 undi dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Pejuang) yang hanya mendapat 465 undi.

Hasil perkahwinan dengan Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, beliau dikurniakan empat cahaya mata.

Advertisements

Semalam, Hasni yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor membuat kejutan apabila mengumumkan untuk memberi laluan kepada orang muda sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga ADUN Benut berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan yang lebih bermakna dalam pembangunan Johor.

“Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, baginya tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

Hasni yang juga ‘poster boy’ BN dalam PRN Johor baharu lalu diumumkan sebagai calon tunggal Menteri Besar sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan di Johor.

Perkara itu ditegaskan sekali lagi oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya sejurus BN diumumkan menang pilihan raya negeri.

BN membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas berjaya menang dengan 40 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Johor pada Sabtu lalu.

12 lagi kerusi dimenangi oleh DAP (10) serta masing-masing satu kerusi PKR dan MUDA. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan