25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penganjuran MotoGP di SIC sehingga 2024

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) bakal dimeriahkan kembali dengan penganjuran Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) sehingga 2024 dengan Petronas terus menjadi penaja utama perlumbaan itu.

Pemegang hak MotoGP Dorna Sports ketika mengumumkan pusingan di Malaysia akan dikenali sebagai Grand Prix PETRONAS Malaysia mulai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta berkata, Malaysia adalah pasaran penting MotoGP dan ia adalah satu keseronokan untuk berlumba di Sepang dan menyaksikan keghairahan luar biasa peminat yang memenuhi tempat duduk grandstand.

“Selepas terbukti dapat kembali ke Malaysia untuk ujian pramusim tahun ini, kami lebih bersemangat untuk kembali dan berlumba.

“Kami semua menantikan Grand Prix Malaysia dan melihat peminat kami di Malaysia untuk banyak musim lagi.

“Kami juga berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan PETRONAS, jenama yang sinonim dengan kecemerlangan dan kejayaan, dan duta hebat untuk Malaysia di persada dunia.

“Tiada yang lebih baik sebagai penaja utama untuk Grand Prix Malaysia selain daripada satu nama yang menjadi lambang dalam sukan permotoran.

“Kami tidak sabar untuk melihat jenama ikonik ini mendapat pengiktirafan teratas pada acara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengucapkan penghargaan kepada mereka yang menjadikan lanjutan kontrak berkenaan menjadi kenyataan.

“Dengan rekod penonton yang dicatatkan sentiasa meningkat setiap tahun, kami tidak sabar untuk menyambut kedatangan penonton kembali ke Sepang selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik.

“Selaras dengan tema kami #WelcomeHome, tahun ini adalah mengenai kebangkitan sukan permotoran antarabangsa dengan tawaran lebih unik kepada peminat,” tambahnya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, syarikat minyak itu amat berbesar hati untuk menaja gelaran untuk GP Malaysia, yang dianggap sebagai acara sukan utama di Malaysia dan Asia.

“Penajaan utama menawarkan peluang untuk kepada Petronas untuk berhubung dengan peminat sukan itu dan mempamerkan jenama serta produk kami,” katanya.

Sejak 1999, SIC menjadi litar kegemaran peminat dan juga pelumba dengan dua laluan lurus panjang, gabungan selekoh berbeza-beza dan kompleks grandstand utama yang menakjubkan, serta telah mementaskan 20 GP.

Selepas perlumbaan musim 2020 dan 2021 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, perlumbaan tahun ini dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober depan. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan