33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

MOT benar operasi semula pengangkutan awam Malaysia-Singapura

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMUA kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kebenaran tersebut terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat.

“Ia termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja serta teksi rentas sempadan.

“Oleh yang demikian, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dalam negara yang berkaitan boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi mereka termasuk memperbaharui semua permit atau lesen yang berkaitan, sama ada dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau dengan pihak berkuasa di Singapura.

“Namun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang.

“Operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam, juga katanya boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat-syarat pengembaraan yang telah ditetapkan.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada pengembara berkenaan termasuk dikenakan tindakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia ada yang berkaitan,”katanya.

Dalam masa yang sama, Ka Siong berkata, semua operator kenderaan perkhidmatan awam diingatkan untuk mematuhi semua SOP kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod imbasan di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.

Tambah beliau, mana-mana pengembara yang akan menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula perlu mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP) dengan melayari laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan dan tol.

“Selain itu, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar Caj Jalan (RC) (RM20 setiap kemasukan) apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI dan KSAB).

“Bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID.

“Kenderaan berdaftar Singapura yang masih belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC masih boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch n Go,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ka Siong turut menasihati semua pengembara yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura agar memastikan kad Touch n Go masih sah dan mempunyai baki yang mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch n Go mereka untuk membayar RC, bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysia di BSI atau KSAB.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.-Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan