KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewujudkan program vaksinasi pemberian dos penggalak COVID-19 kepada hampir dua juta pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini adalah sebahagian usaha pihaknya menyokong inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan rakyat lebih selamat dalam berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
“Sebagaimana kita sedia maklum, pekerja dari sektor perkilangan dan pembuatan merupakan antara tulang belakang kemajuan ekonomi negara.
“Saya percaya sektor ini boleh membantu kejayaan kerajaan dengan adanya program vaksinasi dos penggalak COVID-19, sekali gus dapat memberi situasi lebih selamat apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan perancangan memasuki fasa peralihan ke endemik yang akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, apabila sempadan negara dibuka pada awal April nanti, pertumbuhan ekonomi negara akan bertambah rancak dengan penglibatan syarikat tempatan yang akan memenuhi permintaan pasaran global.
“Usaha ini akan kami teruskan dan kami mahu kerancakan ekonomi ini bukan sahaja berlaku di kawasan Lembah Klang tetapi juga di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.-Bernama