29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KKM nafi sijil vaksinasi MySejahtera hilang jika enggan ambil dos penggalak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa sijil vaksinasi akan dihilangkan pada aplikasi MySejahtera bagi individu yang enggan menerima dos penggalak.

Pasukan Respons Pantas KKM berkata, sebaliknya status di aplikasi MySejahtera hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap sekiranya tidak mengambil dos penggalak.

Menurutnya, penukaran status berkenaan hanya membabitkan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima dos penggalak setelah layak serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang mash belum mendapatkan dos penggalak setelah layak.

“…(status) hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej berkenaan.

“Orang ramai disaran agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, orang ramai dinasihatkan merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook rasmi KKM, bermula 1 April ini, status vaksinasi untuk dua golongan iaitu penerima vaksin primer Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin akan bertukar tidak lengkap sekiranya tidak mengambil dos penggalak.

“Pemberian dos penggalak adalah untuk memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan SARS-CoV-2.

“Dapatkan dos penggalak anda di PPV yang terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh melayari https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find untuk mengetahui senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan