29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ketua Polis Balai tak mengaku bersalah lima tuduhan rasuah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG Ketua Polis Balai (KPB) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah dekat Ayer Keroh, Melaka, tidak mengaku bersalah atas lima pertuduhan, meminta dan menerima rasuah, membabitkan nilai keseluruhan RM21,800 dalam kejadian kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Sub Inspektor Abdul Halim Alias, 59, membuat pengakuan berkenaan setelah kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Tengkera, didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan RM6,000 daripada pemilik Restoran The Stage Music Lounge Plt, Hang Kah Joon, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di restoran berkenaan yang terletak di Kota Shahbandar Melaka, kira-kira jam 10 malam pada 4 Ogos 2020.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Abdul Halim didakwa secara rasuah bersetuju menerima RM800 secara bayaran bulanan dan memperoleh bagi diri sendiri suapan RM6,000 daripada individu sama bagi dorongan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dalam bilik pejabatnya di Balai Polis Tengkera, di antara jam 5 hingga 5.15 petang pada 11 Ogos 2020.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang jika sabit boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, Abdul Halim didakwa meminta suapan berjumlah RM8,000 dan secara bulanan sebanyak RM1,000 daripada individu sama untuk dorongan sama.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di restoran berkenaan, kira-kira jam 10 malam pada 4 Ogos 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat, menawarkan ikat jamin RM5,000 kerana membabitkan lima pertuduhan keseluruhan berjumlah RM21,800.

Kadar itu tidak dibantah peguam bela tertuduh, Azrul Zulkifli Stork.

Irwan Shah turut memohon syarat tambahan dikenakan dengan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 20 April depan.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan