29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

JAIS benar rapatkan saf solat berjemaah di masjid, surau 1 April ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memaklumkan bahawa Baginda berkenan supaya solat berjemaah di masjid, surau dan musolla di Negeri Selangor boleh dirapatkan saf seperti biasa.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan berkenaan dibuat setelah Baginda mengadakan satu rundingan bersama dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Timbalan Mufti Selangor, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan beberapa orang Ali Dewan di-Raja Selangor.

Menurut beliau, Baginda telah berkenan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutama langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat jangkitan Covid-19 dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid, surau dan musolla terus berfungsi sebagai pusat ibadah bagi umat Islam di Negeri Selangor.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga telah berkenan Solat Tarawih pada bulan Ramadan 2022M / 1443H diadakan di semua masjid, surau dan musolla di seluruh Negeri Selangor.

“Solat Tarawih juga dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadhan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Mohd Shahzihan lagi, semua aktiviti lain melibatkan masjid, surau dan musolla sera aktiviti sepanjang bulan Ramadhan di seluruh Neger Selangor juga boleh dilaksanakan seperti biasa.

Menurutnya, para jemaah juga dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang telah ditetapkan seperti berikut iaitu hanya individu yang telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

“Selain itu, bagi individu yang berurur di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima 2 dos vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

Advertisements

“Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Malah menurutnya, individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain.

“Walau bagaimanapun, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor masih bimbang kerana penularan wabak Covid-19 masih tinggi di Negeri Selangor iaitu jumlah kematian sehingga19 Mac lalu ialah 10,413 orang.

Menurut beliau, lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan virus berkenaan masih aktif dan menjangkiti masyarakat.

“Oleh yang demikian, Baginda menasihati rakyat Negeri Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari masa ke masa.

Sehubungan itu, satu ketetapan secara lebih terperinci mengenai perkara ini untuk dikuatkuasakan pada 1 April akan dikeluarkan oleh JAIS kepada pentadbir masjid, surau dan musolla selurun Neger Selangor dalam masa terdekat.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan