BEKAS Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, hari ini berjaya mendapatkan sementara pasportnya bagi menghadiri majlis konvokesyen anak tiri perempuannya di sebuah universiti di United Kingdom (UK), akhir bulan ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan Mohd Isa untuk mendapatkan sementara dokumen perjalanan itu dalam prosiding hari ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kini sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman enam tahun penjara serta denda RM15.45 juta oleh mahkamah tinggi di atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Dalam keputusannya, panel memerintahkan pasport Mohd Isa dikembalikan kepadanya pada 14 Mac ini dan perlu dikembalikan semula kepada mahkamah pada 16 April ini.
Permohonan berkenaan yang dibuat oleh peguam Mohd Isa, Datuk Wan Azmir Wan Majid, tidak dibantah oleh pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Dalam permohonan itu, Wan Azmir memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya akan ke UK pada 26 Mac ini untuk menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya dan akan pulang ke Malaysia pada 9 April ini.
Mohd Isa memfailkan permohonan itu pada 24 Februari lalu.
Pada 3 Februari 2021, mahkamah tinggi mensabitkan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan 54 tahun penjara dan denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sahaja selepas Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
-EDISI9