30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Harmonikah UMNO untuk mengharungi PRU-15?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

NAMPAKNYA UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin yakin mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas dua kemenangan besar berturut-turut dalam dua pilihan raya negeri.

Menang dalam PRN Melaka akhir tahun lalu dengan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan kemudian menyapu 40 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN Johor kelmarin.

Sebelum itu, rakan sekutu BN yang bergabung di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menang besar dalam PRN Sarawak apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi DUN.

Lalu tidak hairan laungan “Bubar Parlimen!” berkumandang di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, yang mesejnya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan.

Membubarkan Parlimen tidak sukar bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri kerana beliau hanya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melakukannya.

Perkara itu adalah hak mutlak seorang Perdana Menteri, tanpa perlu berbincang dengan sesiapa pun waima rakan-rakan daripada parti lain yang berada dalam kerajaan sepertimana dituntut Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Namun, sudah tentu banyak perkara lain perlu diambil kira beliau sebelum membuat sebarang keputusan, bukan hanya soal parti semata-mata tetapi juga tentang rakyat dan negara.

Apatah lagi Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan gabungan bersama parti-parti lain dan bukannya kerajaan mutlak BN atau kerana menang PRU-14. Dilema bukan?

Justeru, Ismail Sabri perlu berhati-hati dalam soal membubarkan Parlimen, kerana kelak apa sahaja yang berlaku beliau yang akan dipertanggungjawabkan.

Semalam, ketika ditanya oleh media tentang desakan segelintir penyokong UMNO agar beliau membubarkan Parlimen, Ismail Sabri memulangkan balik persoalan kepada parti.

Apakah UMNO dan BN benar-benar sudah bersedia untuk mengharungi PRU-15 yang cabaran yang bakal diharungi bukan kecil kerana melibatkan seluruh negara?

Tolak empat negeri yang sudah menjalani pilihan raya peringkat negeri – Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, 10 negeri lain akan mengharungi badai PRU-15 yang sudah tentu tidaklah semudah menjalani PRN atau pilihan raya kecil.

Ini kerana dalam PRU-15, tiada sokongan jentera dari badan perhubungan negeri atau bahagian-bahagian lain kerana semuanya sibuk menjaga kubu masing-masing.

Ismail Sabri dan Zahid Hamidi berbincang sesuatu ketika menunggu keputusan rasmi PRN Johor.

Tidak seperti dalam PRN Sabah, Melaka dan Johor yang mana jentera BN dari seluruh pelosok negara dikerah untuk membantu dan melaksanakan kawasan angkat.

Ini antara yang menjadi sebab kekuatan dan kemenangan BN dalam pilihan raya berkenaan, namun situasi itu tidak berlaku dalam pilihan raya umum, termasuk PRU-15.

Pada masa yang sama, UMNO dan BN perlu juga memperkiranya jika parti-parti lawan bergabung di bawah satu khemah besar sepertimana berlaku dalam PRU-14 lalu, sudah tentu badai yang bakal ditempuh jauh lebih hebat lagi.

UMNO juga dilihat tidak begitu harmoni untuk mengharungi PRU-15 apabila masih wujud prasangka antara kumpulan pro-Perdana Menteri dan pro-Presiden.

Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pertama beliau sejurus kemenangan BN di Johor yang langsung tidak menyebut nama Ismail Sabri, apatah lagi mengucapkan terima kasih kepada seorang Perdana Menteri yang turut memainkan peranan besar dalam membantu BN memenangi PRN Johor mencetuskan tanda tanya.

Kejadian di hadapan para penyokong BN serta disaksikan oleh berjuta-juta rakyat menerusi kaca TV atau media sosial itu, menampakkan ketidakharmonian di peringkat pucuk pimpinan parti. Apakah benar?

Zahid kelihatan seolah-olah menafikan peranan Ismail Sabri yang mengadakan pelbagai program kerajaan Pusat di Johor malah setiap minggu berada di negeri itu sehinggalah pada hari pembuangan undi, demi memastikan kemenangan BN.

Namun kerana sikap semulajadinya yang merendah diri, Ismail Sabri cuba mengelak daripada kelihatan over rule seorang Presiden dalam soal parti dan kerana mungkin juga menghormati kata-kata “kau jaga negara, aku jaga parti.”

Atas sebab itulah beliau turun atas kapasiti seorang Perdana Menteri menjelajah di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan aktiviti-aktiviti kerajaan Pusat, malangnya itu sedikitpun tidak dipandang oleh Zahid.

Itu belum lagi diambil kira dasar-dasar yang diperkenalkan Ismail Sabri dalam membantu rakyat berhadapan pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar, yang menambahkan lagi keyakinan rakyat tentang sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang pemimpin daripada UMNO dan BN.

Apakah Zahid masih berdendam dengan Ismail Sabri yang mengetuai kumpulan ahli-ahli Parlimen BN yang mempertahankan kerajaan Muhyiddin sebelum ini, yang cuba digoncang oleh Zahid dan ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau?

Apakah nasib ahli-ahli Parlimen tersebut dalam PRU-15 nanti sama ada digugurkan satu-persatu sebagai calon kerana tidak seiring dengan Presiden sedangkan sebahagiannya merupakan ketua-ketua UMNO bahagian?

Jika ini berlaku, sudah tentu UMNO dan BN tidak boleh mengharungi PRU-15 dalam keadaan sedemikian kerana ia menjadi titik lemah bagi parti di semua peringkat.

Inilah isu utama yang perlu diselesaikan di peringkat parti sementelah Ismail Sabri juga sudah tentu mahu memastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih selamat sekiranya BN memenangi PRU-15 nanti.

Benarlah kata Tan Sri Annuar Musa, masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen adalah apabila UMNO sudah berjaya menyatukan saf politik orang Melayu, (yang notabenenya adalah kalangan orang UMNO sendiri), agar tidak terjun ke dalam PRU dalam keadaan bercerai-berai.

Jadi, apakah UMNO dan BN benar-benar sudah bersedia? – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan