26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 25, 2022

Peralihan endemik: Kurangkan buat ujian PCR, lebihkan RTK

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MASYARAKAT perlu mengurangkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR (PCR) dengan melebihkan kepada ujian RTK-Ag (RTK), sewaktu fasa peralihan endemik di negara ini. 

Ini kerana, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian PCR lebih mahal, manakala ujian RTK pula lebih murah serta mudah didapati di pasaran. 

“Lagipun mengikut pakar, RTK memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi berbanding PCR sangat-sangat sensitif. Sampai orang yang sudah sembuh pun, masih lagi positif apabila mengambil ujian PCR. 

“Keduanya, ujian PCR tak pantas, tak cepat macam ujian RTK. Kita tunggu 15 minit sahaja dan kita tahu sama ada positif dengan kebolehjangkitan atau tidak,” katanya dalam satu rakaman video yang disiar menerusi media sosial hari ini. 

Bagaimanapun, Khairy berkata, ujian PCR masih boleh digunakan untuk mengembara ke luar negara contohnya atau sebelum kembali ke Malaysia, kita masih lagi memerlukan ujian PCR.

Baca juga:   Khairy dilantik Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia

Beliau berkata, dalam situasi ketika ini iaitu varian Omicron yang lebih pantas dan lebih cepat merebak, penggunaan ujian RTK adalah lebih berkesan. 

“Tak perlu menunggu 24 jam hingga 48 jam untuk tahu kita positif atau tidak, jadi lebih cepat kita mengesan dan asingkan diri jika positif. 

“Lebih baik 1,000 orang buat ujian RTK daripada 10 orang buat ujian PCR walaupun PCR ini lebih sensitif,” ujarnya. 

Baca juga:   MOF ambil langkah bagi mudah cara perolehan vaksin COVID-19

Sementara itu, mengenai kualiti pula, Khairy sudah meminta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Kementerian Kesihatan untuk bertindak ke atas kit ujian RTK yang didapati tidak tepat. 

“Kita akan terus pantau kit yang ada di pasaran untuk pastikan kualitinya kita jaga dengan baik,”katanya.

Dalam masa sama, beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya tidak perlu mengesahkan ujian RTK yang didapati positif dengan melakukan ujian PCR, tetapi individu tersebut perlu terus menjalani kuarantin. 

Khairy juga sempat menunjukkan keputusan ujian RTK beliau yang didapati negatif pada video yang berdurasi dua minit itu.- Edisi 9

Terkini

Kanak-kanak 5 tahun maut, bapa, kakak parah nahas 2 kenderaan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kesang Garing,...

Lagi Artikel Berkaitan