33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Dana RM600 bilion: Muhyiddin akan dipanggil SPRM

Turut akan dipanggil ialah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz dan Khairy Jamaluddin.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana sebanyak RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Turut akan dipanggil ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata, siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada pihak tertentu, yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa wujud pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Kontroversi penggunaan dana kecemasan lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi Amanah Melaka dan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Sebelum ini juga, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Naib Presiden UMNO itu juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak babit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan