25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Desak bubar Parlimen beri persepsi UMNO rakus, bongkak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN segelintir ahli-ahli UMNO yang menjerit dan melaungkan “Bubar Parlimen!” di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi persepsi kepada rakyat bahawa UMNO sebuah parti yang rakus dan bongkak selepas memenangi dua Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor yang kesal dengan kejadian itu berkata, tindakan sedemikian bukanlah budaya UMNO dan boleh memberi impak negatif kepada BN serta jelas tidak menghormati institusi Perdana Menteri yang ditunjangi oleh UMNO.

“Tindakan kumpulan ini juga memberi persepsi seolah-olah UMNO merupakan sebuah parti yang rakus, bongkak dan merasa terlalu kuat selepas menang besar di PRN Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden segelintir penyokong BN yang menjerit dan melaungkan “Bubar Parlimen!” kepada Ismail Sabri ketika beliau serta para pemimpin kanan UMNO masuk ke dalam dewan Pejabat Perhubungan UMNO Johor ketika pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Pahang berpendirian setiap keputusan besar seperti itu haruslah dibincang secara terperinci terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi BN.

Katanya, UMNO dan BN perlu menilai betul-betul persediaan dan kemampuan di semua peringkat sebelum memutuskan untuk mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat.

“Jagalah perpaduan, hubungan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati sesama kita. Inilah kunci kejayaan kita selama ini,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, tindakan segelintir penyokong BN itu membuatkan rakyat menjadi meluat dengan parti.

Beliau berkata, tindakan sedemikian juga membuatkan rakyat akan kembali menolak BN, dan memilih parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira sebelum Perdana Menteri membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen, bukannya mengikut emosi semata-mata.

“Tidak dinafikan mood rakyat yang menyebelahi BN ini dicapai daripada rasa yakinnya rakyat di bawah kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari BN yang memacu negara ke arah pemulihan.

“Begitu juga dengan sokongan padu dan jitu daripada Presiden UMNO dan seluruh saf kepimpinan UMNO dan BN terhadap beliau.

“Justeru, amat tidak wajar jika segelintir pihak ini bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri seolah-olah beliau datang dari pihak lawan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Shahrul Fadhel berkata, beliau begitu ralat dan terkilan dengan tindakan segelintir individu berkenaan yang boleh dikatakan amat biadab dan kurang ajar terhadap seorang Perdana Menteri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan