31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Banjir kilat: Kementerian, agensi ambil langkah segera – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN dan agensi-agensi berkaitan telah mengambil langkah segera bagi susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia setelah sekurang-kurangnya enam kawasan di pusat bandar raya Kuala Lumpur dilanda banjir.

“Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia.

“Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid turut memuat naik gambar-gambar operasi penyelamatan mangsa banjir oleh anggotanya di kawasan terlibat.

Operasi menyelamat mangsa banjir sedang giat dijalankan di kawasan Kuala Lumpur. Kredit: Twitter: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Turut sama berbuat demikian, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi yang berkongsi gambar anggotanya bertungkuslumus membantu mangsa banjir berpindah.

Hujan lebat bermula kira-kira 3.30 petang ini menyebabkan ibu negara hampir lumpuh akibat banjir manakala kesesakan trafik yang teruk turut berlaku di kebanyakan laluan.

Kawasan paling teruk terjejas antara lain di sekitar Jalan Tun Perak, kawasan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Kuchai Lama dan lain-lain.

Media-media sosial dihujani dengan gambar-gambar dan rakaman video keadaan banjir yang dikongsi oleh warganet.

Pada 4 petang ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir di Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Hujan lebat dijangka berterusan hingga 7 malam.

Jabatan Meteorologi juga meramalkan hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di barat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mulai hari ini hingga 13 Mac.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan