26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Usah pandang rendah taktik lawan – Ahmad Zahid

Mereka ulang-ulang tohmahan yang sama dengan objektif lama-kelamaan rakyat termakan hasutan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pengundi Johor agar tidak memandang rendah taktik yang digunakan parti lawan bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Ahmad Zahid berkata, rakyat tahu PRN Johor diadakan untuk mengembalikan kestabilan politik di negeri itu selepas kerajaannya sentiasa berdepan ugutan.

Menurut beliau, kerajaan Johor diugut oleh mereka yang mengancam mahu menekan butang jika kepentingan politik mereka tidak dipenuhi.

“Mereka membuat ancaman itu kerana menyedari kerajaan Johor memiliki kerusi tipis di DUN Johor. Kedudukan kerusi tipis yang turut mengundang risiko kepada kesukaran kerajaan Johor berfungsi dengan baik.

“Malah rakyat tahu PRN Melaka dan Johor tidak akan beri kesan kepada mahkamah sebaliknya beri kesan kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid juga mendakwa, lawan BN tahu fakta berkenaan tetapi inilah namanya taktik “auta 1001 malam” atau “bohong sampai jadi”.

Menurutnya, taktik itu bertujuan untuk menanam propaganda mereka dalam fikiran masyarakat Johor.

“Mereka ulang-ulang tohmahan yang sama dengan objektif lama-kelamaan rakyat termakan hasutan yang diulangi setiap hari.

“Seperti PRU (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lepas, cara berkempen mereka tetap sama dengan menabur fitnah dan menanam kebencian rakyat dengan tipu daya dan pembohongan yang direka, dicipta, diguna pakai oleh mereka sendiri,” katanya.

Menurut beliau, ini berbeza berbanding BN sentiasa mengetengahkan usaha dan gerak kerja tentang kepentingan kestabilan rakyat dapat dikembalikan di Johor.

“Dalam masa yang sama kita menjawab tohmahan mereka berdasarkan fakta yang benar dari semasa ke semasa.

“Namun bangsa Johor jangan pandang rendah taktik mereka kerana inilah taktik sama digunakan mereka semasa PRU-14.

“Sentiasalah berwaspada supaya tidak masuk perangkap yang sama buat kali kedua. Kali ini orang Johor tetapkan hati yakini BN,” katanya.

Menurutnya, beliau amat yakin seluruh pengundi di Johor dapat menilai dan membezakan mana Intan dan kaca, mana yang sembang kari, mana yang buat kerja sampai jadi.

“Barangkali orang Johor sudah nampak musuh BN mengulangi dakyah yang sama saban hari sejak kempen PRN Johor bermula.

“Dakyah berhubung tuduhan mereka konon PRN Melaka dan PRN Johor diadakan kerana BN angkuh serta tamak kuasa.

“Konon mahu menyelamatkan pemimpin BN yang mereka sendiri kenakan pendakwaan mahkamah selepas menang PRU-14.

Sedangkan menurutnya, rakyat tahu PRN Melaka disebabkan tindakan beberapa wakil rakyat menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri.

“Empat wakil rakyat termasuk daripada parti mereka dan seorang wakil rakyat BN yang kemudian bertanding menggunakan logo mereka,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan