32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

8,000 banduan bakal isi kekosongan tenaga kerja asing

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KIRA-KIRA 80 peratus daripada 10,000 banduan yang menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni akan ditempatkan dalam industri bagi memenuhi tenaga kerja tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia sebagai langkah dalam usaha mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Beliau berkata, program-program itu juga sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kesesakan selain menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun.

“Kementerian amat yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan kepada pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2021.

“Melalui peluang yang diberikan di dalam komuniti, didapati 99.63 peratus daripada mereka berjaya dan tidak lagi mengulangi kesilapan serta kembali semula ke penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang, Selangor hari ini, lapor Astro Awani.

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan, kementerian tetap komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan terus diutamakan.

Katanya, kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara bagi memastikan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan jabatan dalam melaksanakan PDK.

“Jabatan Penjara juga akan memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100, berbanding 52 pada masa ini.

“Ini akan meningkatkan lagi keupayaan jabatan memperluaskan program-program pemulihan kepada banduan di seluruh negara,” katanya.

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan