29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sokong usaha rapatkan jurang pembelajaran murid – YDPA

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa semua pihak menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik Covid-19.

Titah Seri Paduka Baginda, jalinan kerjasama baik dan positif hendaklah terus diwujudkan dan disokong bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada anak-anak kita.

“Kerajaan akan terus mengukuh dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

“Beta menyambut baik inisiatif Sekolahku SEJAHTERA untuk dilaksanakan ke arah membentuk kemenjadian murid,” titah Baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha kerajaan membangunkan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (SEJAHTERA IPT) dalam memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi pascapandemik.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Baginda menyambut baik usaha-usaha seperti penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET), pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 yang kesemuanya merupakan naratif baharu bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang.

Titah Baginda, selaras dengan perubahan pesat dunia pekerjaan dan kewujudan peluang pekerjaan baharu termasuk ekonomi gig yang semakin terbuka luas, pekerja perlu diberi latihan kemahiran insaniah dan kognitif.

“Bagi memastikan ekosistem pekerjaan kekal berdaya saing, kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja serta menggalakkan majikan dan pekerja mengikuti latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran.

“Usaha meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak dan warga emas, memperkasa golongan wanita serta Orang Kurang Upaya (OKU) dan memperkukuh institusi keluarga hendaklah terus diperhebatkan.

“Usaha murni Kerajaan untuk membentang Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual adalah sangat dialu-alukan. Usaha ini akan dapat memberi manfaat dan pembelaan kepada golongan yang terkesan,” titah Baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, dasar penetapan sekurang-kurangnya 30 penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan hendaklah diteruskan demi untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam arus pembangunan negara.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Model Baharu Pembangunan Belia 2021-2030 yang merupakan aset terpenting negara untuk diberikan peluang dan ruang dalam pembangunan negara.

Di samping itu, titah Baginda, pelaksanaan Undi 18 yang diluluskan telah membuka dimensi baharu kepada belia dalam menentukan masa depan dan kepimpinan negara. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan