24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Saya sudah lupakan MN, usah diungkit-ungkit lagi – Muhyiddin

Mesti Baca

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah melupakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama oleh UMNO dan Pas sebelum ini.

Menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai MN manakala UMNO juga telah membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu sepertimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung parti itu.

“Saya sudah lupakan MN. Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai MN. UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?

“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai ‘boss!'”, katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut bagi membalas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca MN gagal.

Malah bekas Presiden UMNO itu juga menuduh Bersatu meletakkan calon bagi melawan partinya dalam PRN tersebut dan perbuatan tersebut sebagai pengkhianatan terhadap UMNO.

Advertisements

Muhyiddin yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut menggesa Najib agar mengambil masa untuk bermuhasabah diri setelah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya ada sedikit malu kerana telah disabitkan dengan kesalahan jenayah itu dan tidak perlu lagi bermain politik jelik.

“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku.

“Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?” bidas Muhyiddin.

Untuk rekod, UMNO dan Pas telah menandatangani piagam MN pada 2019 ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

– Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan