28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pusat kecantikan estetik tanpa tauliah guna peralatan, ubatan berjadual

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan pusat kecantikan estetik tanpa tauliah yang di serbu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (KKM) Isnin lalu didapati menggunakan peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peralatan perubatan dan ubat-ubatan itu sepatutnya hanya boleh digunakan seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Beliau berkata, serbuan sama turut menemui peralatan pergigian di premis berkenaan yang disyaki turut digunakan untuk tujuan rawatan kepada pelanggan mereka.

“Siasatan awal mendapati premis tersebut menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti kesihatan berdaftar serta berlesen dengan KKM, malah ia perlu dijalankan pengamal perubatan berkelayakan.

“Kes itu kini disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) tidak berdaftar.

“Pusat kecantikan itu didapati melanggar ketetapan Seksyen 3 dan, atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta yang sama,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Katanya, jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Manakala, bagi suatu kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000.

Sehubungan dengan itu, Noor Hisham berkata, beliau menasihatkan orang awam yang berhasrat mendapatkan rawatan estetik supaya mendapatkan rawatan di KPJKS yang berdaftar atau berlesen.

Menurutnya, orang awam juga perlu memastikan pengamal perubatan berkenaan mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti.-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan