28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sah! PKRC MAEPS dibuka semula esok, mula dengan 100 katil

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan dibuka semula, mulai esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan membuka semula PKRC bukanlah kerana katil di hospital tidak mencukupi namun lebih kepada langkah pencegahan dan memberi penampan kepada sistem kesihatan negara.

“Hospital kita sudah mula memberi perkhidmatan dan rawatan untuk bukan COVID-19 terutama kes elektif yang tertangguh selama dua tahun, tidak terganggu atau diberhentikan perkhidmatan tersebut disebabkan peningkatan kes COVID-19 kerana varian Omicron.

“Untuk kemasukan ke MAEPS ini, ia adalah lebih kepada kes-kes berisiko rendah dan juga step-down care.

“Ini adalah strategi kita untuk gelombang Omicron di mana kita wujudkan katil-katil risiko rendah yang akan digunakan untuk tempoh lebih singkat berbanding Delta.

“Sebab itu kita mengoperasikan semula MAEPS dengan 100 buah katil. Pada kemuncak gelombang Delta, MAEPS ada 10,000 katil tapi esok ada 100 katil dengan penampan 850 katil,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, pembukaan MAEPS adalah untuk memastikan kapasiti hospital di Lembah Klang dijaga sebaiknya dan rawatan bukan COVID-19 dapat diteruskan tanpa gangguan.

Katanya lagi, beliau menjangkakan pengoperasian semula PKRC itu mungkin tidak akan begitu lama seperti yang berlaku semasa Malaysia menguruskan varian Delta sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan selepas 14 bulan memberikan khidmatnya, PKRC MAEPS 2.0 di Serdang ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas.

Edisi 9 sebelum ini melaporkan PKRC MAEPS mungkin dibuka semula dalam masa terdekat kurang daripada sebulan lalu ditutup.

Difahamkan kerja-kerja menyiapkan kemudahan di Dewan A MAEPS itu sedang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Berdasarkan maklumat yang dikongsi MPKj menerusi Facebooknya semalam, kerja-kerja menyusun semula katil untuk pesakit Covid-19 dilakukan pihaknya oleh Skuad Pantas bersama beberapa agensi lain.

– Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan