34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Penggunaan katil ICU Covid-19 di Johor cecah 70 peratus

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KADAR penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di Johor mencatatkan rekod tertinggi mencecah 70 peratus atau 32 daripada 46 katil yang disediakan di wad berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut mencatatkan rekod melebih 50 peratus penggunaan ialah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 64 peratus (14/22) manakala Kelantan pula 50 peratus atau 18 daripada 36 katil.

Menurut beliau, penggunaan fasiliti kesihatan membabitkan pesakit Covid-19 di katil bukan ICU turut merekodkan peningkatan.

“Bilangan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) pula menunjukkan penurunan, berbanding semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Noor Hisham lagi, bagi katil bukan ICU pula 10 negeri menunjukkan penggunaan lebih 50 peratus iaitu Selangor yang kini menggunakan 95 peratus diikuti Kelantan (93 peratus), Putrajaya (92 peratus), Perlis (90 peratus), Sabah (82 peratus), Johor (82 peratus), Kuala Lumpur (72 peratus), Perak (70 peratus), Pahang (55 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

“Lapan negeri iaitu Selangor (83 peratus), Terengganu (59 peratus), Negeri Sembilan (51 peratus), Perlis (51 peratus) dan Kelantan (51 peratus), menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus.

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 130 pesakit dan peratusan penggunaanventilator kini pada paras 37 peratus,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19.

“Setiap negeri juga sudah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital, berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baharu didiagnosis setiap hari.

Katanya, ia berikutan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti virus berkenaan.

“Misalnya ketika didiagnosis, mungkin pesakit itu berada pada kategori dua dan diisolasi di rumah menggunakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) digital, namun status kesihatan beliau merosot ke kategori tiga lalu memerlukan kemasukan ke hospital.

“Pada masa sama, terdapat kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital secara pre-emptive,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,521 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dan daripada jumlah itu, 548 kes (36.0 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 973 kes (64.0 peratus) kategori satu dan dua.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan