30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kementerian, agensi disaran tetap 5 peratus belanja urus banjir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN dan agensi disaran untuk membuat penetapan sebanyak 5 peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi pengurusan bencana pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah berkenaan penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pascabencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

Ujar beliau lagi, kerajaan juga sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini.

“Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO),” katanya.

Beliau berkata dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Putrajaya hari ini.

Tambah Perdana Menteri lagi, pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder.

“Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” katanya.

Untuk rekod, bencana banjir baru-baru ini telah mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih RM1.4 bilion disalurkan menerusi pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk mangsa banjir baru-baru ini.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan