24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Apa masalah mesyuarat hidang air mineral jenama import?

Mesti Baca

BILA ada pihak mempertikaikan air mineral yang dihidangkan semasa Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penulis hanya mampu geleng kepala.

Apa masalah dengan air mineral tersebut sehingga perlu dipersoalkan?

Tidak boleh ke mesyuarat tahap menteri di pejabat Perdana Menteri dengan memakai kot dan tali leher di tempat berhawa dingin dihidangkan dengan air mineral import?

Alasan yang diberikan “mesyuarat tentang tindakan sara hidup tapi menteri menghabiskan duit rakyat dengan minum air mineral harga kayangan.”

Adoi bang! Takkanlah sebab mesyuarat membincangkan kos sara hidup kena hidang air osmosis terbalik (RO) saja yang disedut dari paip Air Selangor?

Dah gitu, tak usahlah buat mesyuarat kat tempat berhawa dingin, dalam pejabat yang gah dan besar, berkot dan bertali leher di Putrajaya. Buat sajalah mesyuarat di pasar awam atau reban ayam. Sesuai sangat dengan agenda mesyuarat.

Kadang-kadang penulis tak faham dengan sikap dan sifat orang kita lebih-lebih lagi dalam media sosial. Dahlah guna nama samaran, lepas tu taburkan segala kebencian termasuk hal-hal remeh-temeh.

Media pulak macam haus berita ambil sahaja segala pandangan ‘netizen’ konon suara rakyat. Entah-entah itu askar-askar semut upahan daripada pihak sebelah yang satu lagi untuk menanam kebencian orang ramai.

Penulis lihat menjadi seorang menteri apatah lagi Perdana Menteri di Malaysia dalam era digital hari ini serba tidak kena. Ada sahaja yang hendak diperlekehkan, malah sehingga timbul fitnah.

Menteri tak turun padang mendekati rakyat nanti mereka akan dikecam, dimaki dan tidak kurang yang mengugut untuk menarik sokongan.

Tapi apabila menteri turun padang mendekati rakyat, tunjukkan di laman media sosial nanti mereka dituduh pula “main drama” sebab dah dekat pilihan raya.

Advertisements

Yang peliknya bila pemimpin kesayangan mereka hidang air mineral sama ketika mesyuarat atau perjumpaan tak ada pula mereka mengkritik atau menghentam?

Dah 2022 masih ada lagi pemikiran “walhalalku, walharammu” ke macam mana?

Kalau beginilah pemikiran orang kita hari ini, letaklah siapa sahaja sebagai menteri atau Perdana Menteri, ada sahaja yang tidak kena.

Ditambah pula dengan pihak sebelah satu lagi mengambil kesempatan sama ada mencurahkan minyak ke dalam api, atau tolong nyalakan api.

Penulis tak nafikan ini semua permainan politik pihak tertentu yang nak tengok lawan mereka dibenci rakyat, maka senang nak dapat sokongan dalam pilihan raya nanti.

Budaya menyerang menteri, ahli politik secara umum dan tidak bertempat memang semakin parah. Penulis bukan nak membela ahli-ahli politik atau menteri kerana sedikit pun tidak membawa keuntungan kepada penulis.

Tapi nak kritik, hentam, kutuk berpada-padalah. Kalau betul katakanlah betul. Kalau salah katakan salah. Jangan main bedal sama rata sahaja.

Kalau macam ni pemikiran kita, penulis ingat sampai kiamat pun negara tak akan aman.

Hentikanlah berpolitik, marilah sama-sama kita membina semula negara!

Tak gitu?

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan