26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tidak halang siasatan terhadap Azam Baki – Pengerusi LPPR

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SIASATAN berkaitan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki masih terbuka untuk diteruskan mana-mana agensi yang mempunyai kuasa di atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang turut memberi jaminan bahawa beliau dan anggota LPPR yang lain langsung tidak berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu sekiranya ia dilaksanakan.

“Malah (siasatan lanjut) adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada pada tahap tertinggi menurut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau membacakan kenyataan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Sebelum ini, kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azam Baki yang terpalit dengan isu pemilikan saham dalam beberapa buah syarikat.

Pendirian SPRM itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

Pada masa sama, mereka berkata, pihaknya tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kelmarin menegaskan alasan Azam itu bertentangan dengan peraturan kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan. Sehubungan itu, SC meminta semua pihak terbabit, khususnya Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul bukti berkaitan.

Sementara itu, Abu Zahar menegaskan beliau sedia disiasat mana-mana organisasi berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam Baki.

Pada sidang media hari ini, beliau juga menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan