32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tarikh tutup permohonan URUS dilanjutkan hingga 31 Mac ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TARIKH tutup permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) kini dilanjutkan daripada 31 Januari kepada 31 Mac 2022.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam kenyataan berkata, justeru pelanggan B50 yang layak dan memerlukan bantuan kewangan boleh memohon URUS dengan bank mereka hingga 31 Mac 2022.

Menurut kenyataan berkenaan, pelanggan individu yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman sedia ada yang ditawarkan oleh bank-bank setakat 30 September 2021 dan memenuhi kriteria ditetapkan boleh memohon URUS.

“Kriteria itu ialah pelanggan B50 dengan pendapatan isi rumah kasar sebanyak RM5,880 atau kurang; pelanggan B50 yang hilang pekerjaan; atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus; dan mempunyai pinjaman/pembiayaan berbayar (tanpa tunggakan melebihi 90 hari) pada tarikh permohonan URUS.

“Pelanggan yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui saluran perbankan Internet atau perbankan melalui telefon atau terus ke cawangan bank mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memudahkan proses permohonan, pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan kewangan daripada berbilang bank hanya perlu membuat permohonan melalui salah satu bank tempat mereka mempunyai pinjaman/pembiayaan berbayar serta berada di bawah program bantuan bayaran balik yang sedia ada.

“Selain itu, tarikh tutup permohonan URUS bagi pelanggan B50 yang layak dan sudah mendaftar untuk program bantuan banjir daripada bank-bank dilanjutkan kepada 31 Julai 2022 atau apabila berakhirnya program bantuan banjir tersebut, mana-mana yang lebih awal,” katanya.

Kenyataan itu berkata, untuk mendapatkan butiran lanjut, sila rujuk Soalan Lazim mengenai URUS melalui laman sesawang dan cawangan bank serta melalui laman sesawang persatuan-persatuan perbankan dan AKPK.

“Bank-bank terus komited untuk membantu pelanggan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, dan sedar bahawa pelanggan memerlukan masa untuk bangkit semula dari segi kewangan apabila keadaan ekonomi beransur-ansur pulih.

“Pelanggan yang masih memerlukan bantuan kewangan tetapi tidak layak untuk menyertai URUS digalakkan menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pengaturan bayaran balik pinjaman lain yang boleh disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengingatkan pelanggan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen/wakil bank berhubung dengan hal-hal bantuan bayaran balik pinjaman.

“Bank-bank dan AKPK tidak melantik atau membenarkan mana-mana pihak ketiga atau ejen sebagai wakil mereka untuk tujuan ini,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan