KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati masyarakat Cina di negara ini supaya meraikan perayaan Tahun Baharu tahun ini dengan norma baharu bagi mengelak penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam keriangan menyambut perayaan ketika pandemik COVID-19, langkah berjaga-jaga perlu diamalkan.
“Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga, terutama golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik.
“KKM nasihatkan lakukan ujian saringan kendiri sebelum berkumpul dan berkunjung.
“Hadkan bilangan orang berkumpul secara fizikal, elakkan berkumpul atau berkunjung jika tidak sihat, walaupun ujian saringan kendiri adalah negatif.
“Selain itu, sentiasa memakai pelitup muka kecuali ketika menjamu selera, menjaga penjarakan fizikal apabila bertemu dengan individu yang bukan serumah dan pilih tempat bertemu dengan pengudaraan yang baik.
“Semua tingkap dan pintu perlu dibuka untuk meningkatkan pengudaraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kerjasama padu daripada pengurusan rumah ibadat juga sangat dihargai dalam memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 sepanjang musim perayaan ini.- Edisi 9