KERAJAAN digesa mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan di seluruh negara sebagai salah usaha menangani punca perubahan cuaca.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga perlu menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baharu beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya serta mensasarkan penggunaan kenderaan eletrik sepenuhnya menjelang 2035.
Beliau berkata, dasar kelestarian kita memerlukan sesuatu yang benar-benar menggegarkan serta luar biasa dan berdampak berganda, bukan sesuatu yang incremental dan reaktif.
“Memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur.
“Rakyat memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata.
“Kerajaan yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan insan, adalah Kerajaan yang tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Malaysia memerlukan tindakan aggresif menangani punca perubahan cuaca.
Katanya, fenomena kemarau yang berpanjangan, krisis air yang meruncing, musim hujan yang semakin tidak menentu, banjir luar biasa serta pencemaran pada skala mega yang akan menjadi suatu kelaziman baharu jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam dasar alam sekitar kita.
Tegas beliau, langkah menjadikan negara bebas karbon menjelang 2050 adalah sasaran yang tidak realistik jika tiada perubahan radikal dalam cara kita mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan yang yang paling penting, menukar gaya hidup rakyat.
Katanya, pelajaran paling besar dari tahun lalu ialah Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara ancaman terhadap keselamatan insan.
“Penyebab utama ialah pandemic Covid 19 dan perubahan cuaca. Kedua-duanya adalah ancaman keselamatan bukan tradisional, yang telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negara,” katanya.
Bahkan menurut beliau, bukan sahaja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan dan keusahawanan.
Katanya, rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat kerana kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan yang terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat yang semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan.
“Semua ini menuntut perubahan paradigma, dalam kita mengurus dasar keselamatan negara. Modernisasi aset keselamatan dan pertahanan tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman tersebut.
“Apalagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa,” kata beliau.
-EDISI9