25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KKM jangka kes demam denggi meningkat tahun 2024, 2025

KKM berjaya merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu pada 2021

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes demam denggi akan meningkat semula pada tahun 2024 atau 2025, dengan insiden yang lebih tinggi daripada jumlah kes yang dicatatkan pada 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, biarpun buat pertama kalinya KKM berjaya merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu, namun wabak denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran.

“Berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM telah mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada tahun 2010, 2015 dan 2019.

“Bagaimanapun, pada tahun 2021, Malaysia melaporkan sebanyak 26,365 kes denggi.

“Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 70.8 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 90,304 kes.

” Kematian disebabkan demam denggi juga didapati menurun daripada 145 kematian pada tahun 2020 kepada 20 kematian pada tahun 2021.

“Namjn begitu, faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan, namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media Sempena Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia.

Dr Noor Hisham berkata, menyedari ancaman tersebut, Kerajaan telah mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988 sebagai penyakit yang wajib dimaklumkan kepada pejabat-pejabat daerah bagi memastikan respons yang pantas bagi pengesanan kes dan pengurusan vektor secara bersepadu.

“KKM juga telah menambah baik kaedah pemakluman kepada sistem berasaskan dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue.

“Ini adalah bagi membolehkan pengawasan dilaksanakan dengan pantas serta tindakan yang segera boleh diambil oleh petugas-petugas di pejabat kesihatan daerah.

“KKM juga telah mengenal pasti penggunaan meluas sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital adalah kunci utama bagi memastikan keperluan kesihatan negara dipenuhi dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penglibatan masyarakat juga dikenal pasti sebagai elemen yang penting dalam membendung pembiakan nyamuk dan seterusnya penularan penyakit denggi.

“Pelbagai sesi penglibatan masyarakat telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman denggi dan memperkasakan peranan individu dalam pencegahan denggi di peringkat isi rumah,” katanya.

Menurut beliau, tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, tiada rawatan khusus seperti antivirus untuk penyakit denggi.

“Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang telah disarankan oleh WHO yang menetapkan kadar sero-prevalensi denggi sekurang-kurangnya 80 peratus pada usia sembilan tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan.

“Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hala tuju bagi tangani demam denggi ini, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM telah bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan dua projek berasingan, iaitu Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS).

“Kerjasama ini bertujuan untuk meneroka prospek potensi untuk menggabungkan amaran awal dan ciri-ciri ramalan dalam sistem pengawasan denggi kebangsaan untuk meningkatkan kesiapsiagaan denggi dan aktiviti pencegahan denggi yang lebih intensif,”katanya.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau, orang ramai dinasihatkan untuk terus mencegah penularan denggi di peringkat isi rumah iaitu, penghapusan tempat pembiakan; perlindungan daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan rawatan awal sekiranya individu mengalami sebarang tanda-tanda dan simptom. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan