33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kerajaan salur peruntukan RM10 juta kepada FAM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanggungjawab dalam membangunkan bola sepak negara bukan hanya terletak di bahu FAM, malah semua pihak termasuk kerajaan.

Justeru, Perdana Menteri berharap agar lebih ramai pihak dapat menjadi satu pasukan dalam membangunkan kualiti bola sepak negara.

“Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata.

“Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

“Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tambah Ismail Sabri, beliau yang juga penyokong Harimau Malaya bersama Keluarga Malaysia berharap agar FAM dapat terus meningkatkan mutu bola sepak negara, sekali gus menempatkan pasukan kebangsaan di peringkat Asia, Asia Tenggara dan antarabangsa.

“Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pembinaan Ibu Pejabat FAM yang baharu itu akan bermula tahun ini dan merupakan ibu pejabat ketiga selepas Wisma FAM di Kelana Jaya telah beroperasi sejak lewat 1980-an.

Beliau berkata, pembinaan ibu pejabat baharu itu merupakan legasi yang ditinggalkan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014, untuk membina sebuah ibu pejabat yang menepati aspirasi dan tuntutan bola sepak moden yang berprestasi tinggi.

“Ini adalah satu penghormatan paling besar yang boleh kita berikan sebagai usaha menghidupkan legasi Almarhum. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum atas segala jasa dan sumbangan Baginda dalam sukan, khususnya bola sepak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tapak seluas 2.43 hektar itu akan dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan