29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tohmahan terhadap Azam bermotif politik dendam

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TOHMAHAN dan serangan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bermotifkan politik dendam untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti agensi itu.

Demikian ditegaskan oleh tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (Operasi), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (Pengurusan dan Profesional).

“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotif politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama,” kata mereka kenyataan bersama hari ini.

Mereka menegaskan, seluruh warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berhubung pendedahan dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM yang membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk pembelian saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, laporan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan selanjutnya.

Pada 15 Disember lalu, R. Sivarasa memfailkan usul tergempar memohon agar Parlimen membincangkan dakwaan Azam yang didakwa memiliki hampir 2 juta saham dalam dua syarikat yang disenaraikan di bursa.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu mendakwa, Azam yang menjadi pengarah siasatan SPRM pada tahun 2015 dan 2016, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015 serta 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Menjawab tohmahan tersebut, Azam dalam sidang media khas pada 5 Januari lalu menafikan dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Sebaliknya, beliau mendakwa saham-saham tersebut adalah milik adiknya yang menggunakan akaun beliau manakala dia sendiri tidak terlibat dalam urusan pemillikan saham terbabit.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang mendengar penjelasan Azam berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan mengesahkan tidak wujud salah laku berhubung pemilikan saham tersebut.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tidak cepat membuat kesimpulan bahawa Azam seolah-olah sudah pun bersalah.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah.

“SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh jump into conclusion seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya.

-Edisi9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan