32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Jangan berhenti di bahu Jalan Bukit Kukus

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGGUNA jalan raya diingatkan tidak memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan berkembar, Jalan Paya Terubong, Bukit Kukus, Pulau Pinang demi keselamatan mereka.

Majlis Ban­daraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, pada masa yang sama pengguna juga diseru agar menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan tersebut.

“MBPP berharap agar semua pengguna jalan raya tidak memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Berkembar, Jalan Paya Te­rubong (Jalan Bukit Kukus) demi keselamatan.

“Mereka juga diseru agar menjadikan tabiat membuang sampah di tempat yang betul sebagai sebahagian daripada amalan dan etika yang boleh dibanggakan,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai situasi di Jalan Bukit Kukus yang dipenuhi sampah-sarap yang dibuang pengguna jalan raya yang berhenti di kawasan berkenaan.

Laluan itu adalah alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk ke Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya serta baru sahaja dibuka kepada umum 13 Januari lalu.

MBPP berkata, para petugas pembersihan telah dikerahkan untuk membersihkan segera sampah-sarap yang telah dibuang sewenang-wenangnya di Jalan Bukit Kukus semalam.

“MBPP berasa kesal dengan sikap sesetengah para pengguna jalan raya yang tanpa segan silu membuang sampah keluar dari kenderaan semasa memandu.

“Ada juga sikap yang memen­tingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Bukit Kukus untuk berswafoto pemandangan indah dan meninggalkan sampah sarap,” katanya.

Tambahnya, kelakuan seum­pama itu seolah-olah tidak menghormati keindahan alam sekitar dan juga keselesaan para pengguna yang lain.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) Fasa 1 yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula Khamis lalu.

Projek tersebut adalah lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

-Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan