36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Itu bukan alasan, Hamidin pertahan keputusan lantik Pan Gon

Mesti Baca

TIDAK memegang jawatan sebagai ketua jurulatih mana-mana pasukan kebangsaan atau kelab sejak 2018 bukan alasan untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak memilih Kim Pan Gon sebagai pengendali Harimau Malaya.

Sebaliknya menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pan Gon mempunyai reputasi sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan Korea Selatan, selain pernah membimbing skuad kebangsaan Hong Kong pada 2009-2010 dan 2012-2017.

“Pan Gon sebenarnya merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam pelantikan ketua jurulatih Republik Korea, Paulo Bento dari Portugal dan ketika ini.

“Negara berkenaan dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 dengan rekod tanpa kalah sepanjang saingan kelayakan akhir dengan berbaki empat perlawanan lagi,” kata beliau di Kuala Lumpur hari ini.

Hamidin berkata, Kemampuan Pan Gon yang fasih berbahasa Inggeris juga merupakan satu kelebihannya kerana memudahkan beliau berkomunikasi dengan staf kejurulatihan, pegawai, pemain dan media.

Selain itu, katanya, beliau juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara.

Beliau berkata, pemilihan Pan Gon dibuat selepas penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Latin serta dalam negara.

“FAM berasakan bahawa Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Republik Korea dalam tempoh empat tahun terakhir ini,” kata beliau.

Hamidin berkata, selepas beraksi sebagai pemain bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors pada era 1990-an, Pan Gon berhijrah ke Hong Kong pada 2000 dan kemudian sempat bergelar pemain-jurulatih di Hong Kong Rangers FC pada 2003-2004.

Beliau kemudian kembali ke negaranya selepas memperoleh Lesen Pro AFC untuk memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih South China FC (2008-2010), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2012-2017).

Katanya, sebagai pengendali skuad kebangsaan Hong Kong, Pan Gon berjaya membimbing pasukan berkenaan mencipta sejarah buat pertama kalinya meraih pingat emas pada East Asian Games 2009 dan seterusnya menjuarai saingan kelayakan East Asian Football Championship 2010 untuk layak selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir.

Selain itu juga, sepanjang saingan Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung pada 2015 dan 2016, Pan Gon berjaya menghasilkan empat kemenangan daripada lapan perlawanan yang mana dua keputusan seri berjaya dicatat Hong Kong ketika berdepan China, sekaligus membuktikan bahawa beliau mempunyai kredibiliti dan sentuhan untuk membawa pasukan bimbingannya menandingi pasukan lawan yang lebih kuat.

Hong Kong kendalian Pan Gon juga pernah dua kali bertemu skuad Harimau Malaya pada 2017 yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada pada saingan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 yang mana aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka berkesudahan seri 1-1 dan aksi di Hong Kong, Malaysia tewas 2-0.

Pan Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan