23.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 2, 2022

Bantuan khas RM700 penjawat awam dibayar esok

Bagaimanapun, bantuan itu ditangguhkan kepada mereka yang tidak menerima dos imunisasi COVID-19 lengkap

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 bernilai RM700 kepada pegawai perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada pesara kerajaan, esok.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, ia adalah bantuan yang diluluskan dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, bantuan itu ditangguhkan kepada pegawai kerajaan yang tidak menerima dos imunisasi COVID-19 lengkap selain atas sebab kesihatan.

Berdasarkan surat edaran yang dilampirkan menerusi twitter JPA, selain pesara kerajaan yang menerima pencen, veteran tidak berpencen juga akan menerima bayaran berkenaan.

“Selaras dengan keputusan itu, kaedah pelaksanaan pembayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 adalah pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 25 Januari 2022 sebanyak RM700.

“Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang layak adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (CoS), pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.

Baca juga:   10 termasuk 8 kanak-kanak maut dalam nahas 4 kenderaan

“Ia akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai,” kata JPA menerusi twitternya hari ini.

Jabatan itu berkata, pembayaran berkenaan juga akan dipanjangkan kepada pegawai lantikan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) yang masih berkhidmat pada 25 Januari ini dengan syarat tempoh kontraknya berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

Baca juga:   Anggota JPJ hadapi 4 tuduhan rasuah bernilai RM27,600

“Turut layak ialah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.

“Pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran dan hakim serta pesuruhjaya kehakiman turut layak menerima bantuan,” katanya.

JPA berkata, pesara dan veteran yang dilantik semula secara CoS dan masih berkhidmat pada 25 Januari ini adalah layak dibayar sebanyak RM700 dengan pembayaran RM350 dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam/Jabatan Hal Ehwal Veteran, manakala baki RM350 lagi dibayar oleh jabatan tempat pegawai itu berkhidmat.

“Mereka yang tidak layak adalah Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk mereka yang memangku, dipinjam/tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas.

“Pegawai dikenakan hukuman tatatertib dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Januari serta mereka yang berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan,” katanya.

Bagi pegawai kerajaan yang tidak mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap selain atas sebab kesihatan dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan mendaftar, pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 akan ditangguhkan.

Baca juga:   Kes harian menurun, namun lima negeri catat nilai Rt lebih 1.0

“Pegawai hanya layak dibayar sekiranya sudah melengkapkan dos imunisasi COVID-19 selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

“Penangguhan juga kepada mereka yang ditahan, digantung kerja atau surat pertuduhan sudah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tatatertib,” katanya yang menyebut mereka meninggal dunia pada 25 Januari layak menerima bantuan.

Baca juga:   Penjawat awam dapat Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500

-EDISI9

Terkini

“3A” pendekatan Pemuda BN tambat pengundi

PEMUDA Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan "3A" dalam menjamin serta memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi oleh calon...

Lagi Artikel Berkaitan