26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Tuduhan ADUN Hulu Kelang tidak berasaskan fakta – Shahril

Tidak perlu jadi batu api saman Perdana Menteri, tetapi masa untuk bertindak menguruskan fasa pascabanjir

Mesti Baca

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib tidak perlu menjadi batu api dengan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lambat bertindak menguruskan banjir yang melanda Lembah Klang minggu lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kenyataan Saari itu bukan sahaja tidak benar dan tidak berasaskan fakta, tetapi juga sekadar menuding jari kepada orang lain seolah-olah mahu melepaskan tangan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Perdana Menteri dan kerajaan berikhtiar sebaiknya untuk menangani bencana banjir serta mangsa-mangsa terlibat tetapi sudah tentu tidak sempurna dan wujud kekurangan.

“Seperti yang saya sebut dalam posting sebelum ini, banyak pihak yang giat berikhtiar sebaik mampu, namun ia tidak sempurna dan kekurangan itu wujud. Ahli Politik dan pihak berkuasa perlu terbuka menerima kritikan dari rakyat.

“Tetapi sekarang ini masanya untuk kita sebagai pengamal politik yang diberikan amanah dan tanggungjawab memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

SAARI SUNGIB

“Bukan menaikkan kemarahan rakyat dan tuduh menuduh,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Shahril berkata demikian bagi mengulas kenyataan Saari yang menggesa mangsa-mangsa banjir mengambil tindakan undang-undang terhadap Ismail Sabri kerana konon tidak ambil peduli dengan bencana banjir yang melanda Lembah Klang.

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tuduhan Saari itu jelas tidak mengikut fakta kerana Perdana Menteri telah bertindak seawal hari Jumaat, 17 Disember iaitu pada hari pertama banjir melanda Lembah Klang.

Beliau berkata, antara langkah awal diambil Ismail Sabri ialah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset masing-masing bagi operasi menyelamat, mengurus dan menyelaras mangsa banjir pada hari pertama kejadian.

Perdana Menteri juga, katanya, menjadi pemimpin pertama yang meninjau keadaan banjir di Bukit Lanchung, Putra Heights pada tengah malam Sabtu, manakala seawal pagi Ahad sudah berada di Telok Gong, Klang.

Katanya, pada hari yang sama, Ismail Sabril terus mengumumkan pakej bantuan kepada mangsa banjir, antaranya peruntukan awal RM100 juta untuk pemulihan infrastruktur pascabanjir, Bantuan Wang Ihsan RM1,000 serta geran padanan melalui GLC/GLIC sebanyak RM40 juta.

Sehubungan itu, beliau mahukan agar Saari dan pihak-pihak berkenaan berhenti menuduh kerana Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan telah memberi komitmen kepada Menteri Besar dengan menggerakkan aset kerajaan mulai 18 Disember lagi.

“YB Hulu Kelang tidak perlu menjadi batu api mengajak mangsa-mangsa banjir saman Perdana Menteri. Sekarang masanya untuk kita bertindak menguruskan fasa pascabanjir.

“Banyak rumah yang perlu dibersihkan, jalan yang perlu diturap semula, mangsa yang kita pastikan dapat bantuan daripada kerajaan. Saya sarankan Saari Sungib teruskan beri khidmat yang terbaik kepada semua,” katanya. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan