34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Risau keadaan mangsa banjir, PM arah agensi lipat ganda usaha

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melahirkan rasa kerisauan beliau dengan keadaan mangsa banjir di seluruh negara yang terkesan dengan musibah tersebut.

Sehubungan itu Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha membantu operasi banjir, khususnya di kawasan yang teruk terjejas.

“Sejak malam tadi dan sehinggalah pagi ini saya tidak henti-henti meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor dan menziarahi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Lanchung, Putra Heights lewat malam tadi, saya sangat risau dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.

Pagi ini, Ismail Sabri turun padang meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, PPS SK Telok Gong dan Masjid Al Islah Kampung Nelayan Telok Gong di Klang, Selangor.

Ini kerana beliau mahu memastikan sendiri keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di PPS tersebut.

“Saya juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri, serta agensi terlibat sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian.

“Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat,” katanya.

Di SK Johan Setia, seramai 690 mangsa banjir ditempatkan di PPS tersebut yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Selain bertanya khabar, Perdana Menteri berdoa agar semua mangsa bersabar dan tabah menghadapi musibah yang melanda.

“Pada masa yang sama, saya telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya memastikan setiap mangsa menerima kemudahan dan bantuan yang disalurkan. Sama-sama kita doakan keselamatan mangsa-mangsa banjir,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan