30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rina nasihat jangan terpengaruh kempen ‘Do Not Donate Here’

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMPEN seperti Do Not Donate Here yang mengajak orang ramai supaya tidak menderma kepada tabung bencana di bawah kerajaan adalah tidak wajar dalam keadaan negara dilanda bencana sekarang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, keutamaan sekarang adalah mangsa bencana serta beliau memberi jaminan sumbangan yang diterima tabung bencana kerajaan akan disalurkan kepada kumpulan sasar.

“Apa yang kita laksanakan (tabung bencana), donation (sumbangan) yang kita dapat kita sumbang balik kepada rakyat,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang, Selangor hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang tidak perlu ada hashtag (tanda pagar) seumpama itu.

“Tak kira sesiapa pun, sesiapa boleh membantu asalkan matlamat tercapai dan penerima bantuan dapat manfaat, itu yang penting,” kata Rina.

Dua hari lalu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melancarkan Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir.

Ketika melancarkan tabung tersebut, beliau berkata, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat korporat untuk menyumbang melalui saluran yang betul.

Dalam perkembangan lain, Rina yang dikecam kerana dirakamkan memakai kasut bertumit tinggi semasa membuat lawatan ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathy, Jalan Klang Lama, Ahad lepas, berkata penampilan beliau sepatutnya tidak perlu dijadikan isu.

Pada hari kejadian, katanya, beliau sedang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dan bergegas keluar dari situ sejurus Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai berucap.

“Semasa dalam perhimpunan, saya terima banyak mesej mengenai kawasan-kawasan terlibat banjir dan saya kira perlu saya turun untuk lihat keadaan.

“Masa itu saya hanya sempat tukar baju kurung kepada seluar dan baju, saya tidak sempat tukar kasut dalam keadaan kelam-kabut.

“Apa yang penting keberadaan saya di tempat tersebut untuk melihat kebajikan mereka terjaga dan apa lagi keperluan mereka yang boleh saya bantu,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan