24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Sedenak bakal jadi ‘flagship’ keenam Iskandar Malaysia – PM

Fokus industri agroteknologi, teknologi tinggi, R&D serta aktiviti rendah karbon

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mukim Sedenak di utara Iskandar Malaysia, Johor akan menjadi flagship terbaharu dan keenam wilayah pembangunan koridor selatan itu.

Menurut Perdana Menteri, di bawah inisiatif tersebut, Sedenak akan memberi fokus kepada pembangunan industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta aktiviti rendah
karbon.

Beliau berkata, pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.

“Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab
pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia.” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) secara maya yang turut disertai Pengerusi Bersama IRDA yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Lima flagship sebelum ini ialah Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai-Skudai.

Perdana Menteri berkata, IRDA telah memulakan inisiatif membangunkan mukim tersebut untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan berkenaan dan daerah-daerah berdekatan.

Ismail Sabri turut berkata, Iskandar Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kata beliau, sepanjang 2021, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Melalui Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG), sebanyak 252
syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baharu termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.

Advertisements

“Sementara itu, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan
purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian.

Manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 peratus hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan.

“IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan
perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara
bantuan-bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di
bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata, bagi memperhebatkan lagi bantuan untuk rakyat, IRDA turut menyarankan keperluan bagi meneruskan pembangunan rumah transit yang disasarkan kepada rakyat yang baru sahaja bekerja,
memulakan perniagaan atau keluarga.

Jelas beliau, melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah tersebut membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan
mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber
mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.

“Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang
terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit
apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Ahli Pihak Berkuasa IRDA juga bersetuju agar wilayah tersebut meneruskan dan menyegerakan inisiatif-inisiatif utama seperti Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO), Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).

Inisiatif-inisiatif tersebut, katanya, menggalakkan pendekatan kemampanan yang menyeluruh daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan