PENGEMBARA yang tiba dari negara berisiko tinggi di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipakaikan peranti pengesan digital sepanjang mereka menjalabi tempoh perintah kuarantin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu antara langkah yang diambil pihak kementeria bagi membendung penularan varian baharu Omicron.
“Ini selepas kes pertama dikesan di Malaysia membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang masuk ke negara ini menerusi Singapura,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy berkata, strategi lain melibatkan Gelembung Pelancongan Langkawi di mana pengembara yang tiba dari semua negara perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tambahan iaitu pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan.
Katanya, jenis ujian adalah RTK-Ag secara profesional.
Sementara itu, mengenai VTL-Singapura, beliau berkata, kemudahan tersebut akan diteruskan buat masa ini manakala sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenal pasti sebelum ini dikekalkan.
Negara berkenaan adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
Khairy turut menasihatkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi yang masih belum menerima lagi vaksin dos pertama dan kedua.
“Penuhi janji temu vaksin dos penggalak apabila telah diberikan janji temu,” katanya. – Edisi 9