32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Peningkatan kluster pendidikan tidak boleh dipandang ringan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENINGKATAN semula kluster pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini memandangkan individu dari pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama dan ketidakpatuhan seseorang individu terhadap SOP yang sedia ada akan mencetuskan kluster yang tidak diingini.

Menurut beliau, data mendapati dari 16 kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan, sebanyak 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.

“Oleh kerana kebanyakan populasi remaja dan dewasa telah lengkap divaksinasi, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi.

“Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih lagi penting bagi mencegah jangkitan COVID-19.

“Elakkan tempat yang sesak kerana penjarakan fizikal juga perlu dijaga.

“Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai SOP yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh guru, petugas, pelajar, murid, pekerja sokongan, dan lain-lain.

“Jadi pematuhan SOP oleh setiap individu adalah amat penting untuk memastikan tidak berlaku jangkitan COVID-19 dan penularan jangkitan di sekolah serta selanjutnya boleh menyebabkan berlaku dalam keluarga dan komuniti.

“Pematuhan ini bukan sahaja penting semasa waktu pembelajaran di dalam kelas dan ketika di dalam sekolah, malah penting juga ketika waktu rehat, waktu menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan, waktu masuk dan pulang dari sekolah, di dalam van dan bas sekolah, serta semasa menjalankan aktiviti harian di dalam komuniti.

“Jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana, maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan