26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Rangkaian 5G: Kenyataan Zahidi tidak tepat – Tengku Zafrul

Mesti Baca

KENYATAAN yang dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin mengenai pengendali rangkaian 5G dalam Dewan Rakyat semalam, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan itu hari ini memberi penjelasan panjang lebar berhubung proses pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau menerusi Facebooknya hari ini:

Saya ingin memberi sedikit pencerahan berhubung kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin semasa sesi Dewan Rakyat semalam, 9 Disember 2021.

Banyak kenyataan tidak tepat yang juga telah dilaporkan oleh beberapa media, jadi saya ingin memberi pencerahan agar tidak timbul kekeliruan lagi mengenai perkara ini.

Beliau telah menyatakan bahawa tiada perundingan di antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenai pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal atau Single Wholesale Network (SWN).⠀

Sebenarnya, selama ini MOF bekerjasama rapat dengan KKMM dan agensi kawal selianya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di dalam segala usaha untuk menambah baik kesalinghubungan digital di Malaysia.

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

Saya sentiasa berbincang dengan Menteri KKMM, dahulu dan sekarang, dan saya akan terus bekerjasama rapat dengan Menteri KKMM untuk kesejahteraan ekonomi digital negara kita. ⠀

In my humble opinion, KKMM has done a great job in implementing the nation’s connectivity project, JENDELA, and MOF will always support KKMM’s objective to realise the nation’s MyDigital mandate for socio-economic inclusivity.

Oleh itu, berdasarkan usaha-usaha libat urus dan perbincangan yang diadakan di Kabinet dan antara MOF dan KKMM selama ini, saya ingin menjelaskan bahawa:⠀

a. Penubuhan DNB, dan penglibatan KKMM telah diatur sejak tahun 2019, melalui cadangan untuk menyegerakan pelancaran 5G di Malaysia yang dianggap ketinggalan berbanding Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina. Mereka semua telah berjaya melancarkan rangkaian 5G mereka seawal 2019.⠀

b. Dari segi reka bentuk dan pembinaan rangkaian 5G yang dilaksanakan oleh Ericsson, salah satu usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G adalah dengan menggabungkan penyewaan menara dan pajakan gentian. Justeru, persoalan mengenai kapasiti DNB untuk penyediaan digital backbone tidak langsung timbul kerana pembangunan rangkaian 5G ini juga akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada.⠀

c. Dari segi kos pajakan spektrum 5G, dakwaan bahawa “DNB akan jual pula pada telco jadi dua kali ganda peningkatan” juga tidak berasas. Saya telah pun menjelaskan kepada Parlimen pada 25 November 2021 bahawa DNB akan mengenakan caj kurang dari 20 sen bagi setiap gigabit (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi. Sebagai perbandingan, ini adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar 45-55 sen bagi setiap GB.⠀

d. Andaian bahawa kepentingan kontraktor Bumiputra akan diketepikan di dalam projek 5G juga tidak berasas. Ini kerana salah satu syarat projek 5G ini adalah keperluan untuk memanfaatkan lebih 60% kontraktor Bumiputera dan kontraktor dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.⠀

Sebagai latar belakang, berikut adalah garis masa bagi pelaksanaan 5G di Malaysia setakat ini:⠀

Disember 2019: SKMM, di bawah KKMM, telah menerbitkan Laporan Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih. Laporan-laporan ini menekankan, antara lainnya, perlunya perancangan spektrum yang sesuai bagi menyediakan perkhidmatan 5G seawal mungkin bagi pembangunan ekonomi digital Malaysia.

Laporan juga mendapati kos tambahan untuk menaik taraf hanya satu rangkaian 4G di Malaysia akan menelan belanja kira-kira RM7.5 bilion, manakala penggunaan rangkaian 5G secara kolektif oleh empat pengendali rangkaian mudah alih utama mungkin akan menelan belanja lebih daripada RM30 bilion.

Pada waktu itu, Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum bagi Jalur Lebar Mudah Alih mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

Walau bagaimanapun, disebabkan perbezaan kepentingan di kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak terlaksana seperti yang diharapkan.⠀

5G
Gambar hiasan: NYOOOZ

3 Februari 2021: Jemaah Menteri semasa mesyuarat bertarikh 3 Februari 2021 telah mengambil maklum bahawa sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan akan dilantik bagi melaksanakan infrastruktur rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara. SPV ini akan menyediakan kapasiti dan akses secara borong (wholesale) kepada syarikat telekomunikasi berlesen. Pulangan kepada SPV adalah berdasarkan model pemulihan kos (cost recovery model)bagi memastikan caj perkhidmatan 5G kepada pengguna adalah rendah.⠀⠀

19 Februari 2021: Di Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan 5G oleh SPV milik Kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G, dan di mana menjelang hujung 2021, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat. Beberapa Kementerian termasuk KKMM juga terlibat di dalam majlis tersebut.⠀

1 Mac 2021: Kementerian Kewangan telah mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos (cost recovery model), berteraskan penawaran (supply-led) dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum (profit maximisation). Model pemulihan kos ini menjadi keutamaan supaya pelaksanaan rangkaian 5G dapat dipercepatkan pada kos yang rendah.

Ini akan memastikan kos penggunaan 5G oleh rakyat dan perniagaan adalah berpatutan. Model yang berteraskan bekalan ini juga penting bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. Hakikatnya, buat masa ini, perkhidmatan 4G tidak dinikmati oleh kebanyakan penduduk luar bandar kerana kawasan-kawasan ini tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi.

Saya percaya, kes adik Veveonah Mosibin pada Jun 2020, serta kes beberapa siswi yang terpaksa mendaki bukit setinggi 20 meter di Kelantan untuk menyertai kelas dalam talian yang dilaporkan pada November 2020 adalah dekat di hati seluruh Keluarga Malaysia. Malah, Kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan di mana MNO gagal menyediakan liputan.

Syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 82.2 peratus bagi 4G di kawasan berpenduduk. Sebaliknya, DNB menyasar lebih 80 peratus liputan bagi 5G kepada kawasan berpenduduk menjelang 2024.⠀

31 Mei 2021: KKMM telah mengeluarkan Arahan Menteri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Arahan Menteri ini menyentuh tentang penyediaan infrastruktur dan rangkaian 5G, dan menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia bagi merealisasikan potensi 5G.⠀

1 Jun 2021: DNB telah dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] di bawah kawal selia SKMM. DNB telah diberi mandat oleh Kerajaan untuk melaksanakan pembangunan rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara. Kerajaan sedar akan isu serta cabaran model SWN di negara lain, dan telah mengambil langkah untuk memastikan segala kekurangan atau kelemahan yang sama tidak berlaku di Malaysia, terutamanya dari segi tadbir urus oleh SKMM serta garis panduan pelaksanaan yang memastikan penyediaan infrastruktur yang lebih cekap, pantas dan efektif dari segi kos bagi manfaat ekonomi berskala besar. Tujuan langkah- langkah tersebut termasuklah seperti berikut:⠀

a. Kawalan selia SWN oleh SKMM agar semua syarikat telekomunikasi mendapat akses yang adil dan sama rata;

b. Model SWN menggalakkan syarikat telekomunikasi untuk memfokus kepada penambahbaikan produk dan perkhidmatan pelanggan apabila tidak terbeban dengan kos pelaburan modal yang tinggi (seperti yang berlaku di dalam pelaksanaan rangkaian 4G semasa); dan

c. Model perniagaan syarikat serta juga syarat lesen oleh SKMM tidak membenarkan sebuah SWN untuk terlibat di dalam pasaran runcit (retail).⠀⠀

Melalui model SWN ini, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4.0 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang (jauh lebih rendah berbanding anggaran RM7.5 bilion untuk menaik taraf satu rangkaian 4G utama kepada 5G di Malaysia).

Ini bermakna mereka akan mendapatkan penjimatan lebih dari 50 peratus, dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna. Pada masa yang sama, mereka juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing.

1 Julai 2021: Tender DNB telah dimulakan pada 7 April 2021 selesai pada 1 Julai 2021. Wajaran bagi komponen utama tender adalah dari segi Komersial (30 peratus); Teknikal & Keupayaan (55 peratus) dan Manfaat Sosioekonomi (15 peratus). Proses tender dilaksanakan secara telus oleh perunding profesional Ernst & Young. Sebuah pasukan penilaian tender merangkumi lebih 50 pakar dan profesional berpengalaman dari 10 negara berbeza telah dibentuk untuk menilai tender. ⠀

Lapan Pembekal Peralatan Rangkaian atau Network Equipment Provider (NEP) yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pelawaan Tawaran (Request for Proposal atau RFP), hanya empat (4) buah NEP yang telah mengemukakan tawaran iaitu Ericsson, FiberHome, Nokia dan ZTE. Berdasarkan penilaian tender, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) telah dilantik sebagai NEP kerana kosnya adalah RM700 juta lebih rendah berbanding kos yang ditawarkan oleh pembida kedua terendah. ⠀

Proses tender ini juga dilaksanakan secara telus dan kolektif melalui rundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek rekabentuk rangkaian.

10 November 2021: Menteri KKMM telah menghadiri Majlis Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration di Ibu Sawat Telekom Malaysia, Titiwangsa dan menyaksikan sendiri ujian integrasi rangkaian 5G DNB SWN dengan lima syarikat telekomunikasi menggunakan model MOCN dilaksanakan.⠀

Saya harap penjelasan ini akan mengakhiri segala kekeliruan mengenai model SWN yang diguna pakai berserta manfaat-manfaat yang jelas merupakan satu solusi win-win bagi kesemua pihak. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan