LEBIH 24,000 peluang kerjaya menanti pencari kerja pada Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula semalam sehingga Sabtu ini.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kira-kira 74 majikan daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti ExxonMobil, Prasarana, UOA Group mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.
Menurutnya, penganjuran karnival itu merupakan komitmen berterusan PERKESO dalam membantu merancakkan semula ekonomi negara.
“Dalam masa sama dapat memberi ruang serta peluang kepada masyarakat umum untuk mencari pekerjaan.
“Pada karnival pekerjaan kali ini, kami mengetengahkan konsep hibrid, di mana kami mengadakan aktiviti fizikal yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Selain itu, kami turut mengadakan aktiviti secara dalam talian khusus bagi pencari kerja yang tidak dapat hadir secara fizikal,” katanya hari ini.
Di samping itu, Mohammed Azman berkata, pencari kerja juga boleh mengikuti taklimat dan ceramah secara dalam talian menerusi beberapa pusat satelit MYFutureJobs di seluruh Malaysia serta di platform media sosial rasmi PERKESO seperti Facebook dan YouTube.
“Kami juga akan mengadakan sesi Facebook Live bagi aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung sepanjang tiga hari di karnival ini.
“Ini adalah semangat keprihatinan dan Keluarga Malaysia yang kami amalkan agar tiada siapa pun yang tercicir dalam mendapat manfaat daripada penganjuran aktiviti yang kami laksanakan khususnya melibatkan perkhidmatan pekerjaan,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sebanyak 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya pada program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung sepanjang empat hari ini.
Katanya, kerajaan berusaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.
“Di bawah inisiatif penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Manakala, melalui portal MyFutureJobs, Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor telah dilaksanakan melalui portal ini,”katanya.
Bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama.-Edisi 9