32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kes buli di MRSM: MARA tamatkan pengajian 10 pelajar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JAWATANKUASA Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Tambah beliau lagi, keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” katanya.

Pihak MARA, tegas Azhar, komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard, SOP, melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Video tersebut mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.

Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki melibatkan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membantu siasatan.

Siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan