30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

LRA henti tugas: 12 peratus kawasan terjejas pulih

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 12 peratus daripada 463 kawasan di Lembah Klang yang terputus bekalan air penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pulih sehingga jam 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Menurut beliau, daerah Hulu Langat dan Petaling telah mencatatkan peratusan pemulihan 77.8 peratus dan 7.6 peratus.

“Tiga daerah iaitu Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang pula masing-masing mencatatkan sifar peratus pemulihan bekalan air,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 11:30 malam ini.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Sementara itu, Elina berkata, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor,”katanya.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.-Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan