26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

11,384 mangsa banjir di enam negeri dipindahkan

Mesti Baca

SEBANYAK 11,384 mangsa banjir dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) membabitkan 4,500 keluarga di enam negeri, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media tengah malam tadi, Perdana Menteri berkata, setakat pukul 11 malam, sebanyak 188 PPS telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak 84 PPS dibuka di Pahang, Selangor (45 PPS), Kelantan (39), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing sembilan PPS manakala Terengganu sebanyak dua PPS.

“Semua bantuan dan aset diuruskan dan telah digerakkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Pusat,” kata Perdana Menteri di Cyberjaya.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 66,015 petugas agensi penguat kuasa daripada pelbagai agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikerahkan bagi membantu mangsa.

Ismail Sabri berkata, pada masa kini sebanyak 5,731 PPS tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,628,512 mangsa.

“Pada masa yang sama. sebanyak 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS,” katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat 521 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersedia di seluruh negara bagi membekalkan keperluan barangan untuk mangsa di PPS.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menggesa orang ramai yang menjadi mangsa atau terperangkap dalam banjir agar menghubungi talian ‘hotline’ yang disediakan iaitu 03-80642400 bagi mendapatkan bantuan dengan segera.

Katanya, talian itu ditempatkan di Pusat Arahan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu turut menempatkan semua agensi berkaitan bagi meneria aduan orang awam. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan