27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Varian baharu diberi nama Omicron oleh WHO – Khairy

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan strain baharu COVID-19, B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC) dan dinamakan semula sebagai Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selain sekatan kemasukan pengembara dari beberapa negara, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan survelen genomik dan mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Booster atau dos penggalak.

“Orang ramai dinasihati pakai pelitup muka, elak tempat sesak & amalkan #TRIIS,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Khairy menyatakan kerajaan memutuskan pengembara Malaysia yang merancang melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe adalah tidak dibenarkan, susulan penemuan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529.

Selain itu menurut beliau, sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut dilaksanakan.

“Bagi warga tempatan dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara, namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

“Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga hari ini, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia manakala semua sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomic.

Untuk rekod, klasifikasi oleh WHO itu meletakkan Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan, baru-baru ini, dalam kategori varian COVID-19 paling membimbangkan bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

WHO memaklumkan, pihaknya dijangka mengambil masa selama beberapa minggu untuk menyiapkan kajian terhadap Omicron.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan